Kakitangan JPP, Jabatan Landskap MBPP dirai sebagai tanda penghargaan khidmat bakti cemerlang 

AIR ITAM – Komitmen serta kecekapan kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) dan Jabatan Landskap, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam melaksanakan tanggungjawab agar rakyat dapat hidup dalam keadaan selesa, bersih dan kondusif, layak menerima penghargaan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, penghargaan tersebut wajar diberikan berdasarkan khidmat cemerlang yang dipamerkan selama ini.

 

“Tanpa khidmat bakti mereka, tidak mungkin rakyat di negeri ini dapat hidup dalam keadaan bersih dan selesa seperti yang dinikmati pada hari ini,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan KADUN Air Itam Kepada Kakitangan MBPP di Astaka Kampung Baru Air Itam di sini tengah hari tadi.

 

Menurut Soon Siang, selama beliau menjadi ADUN, beliau melihat kesungguhan kakitangan di kedua-dua jabatan berkenaan melaksanakan tanggungjawab dan khidmat terbaik kepada komuniti.

 

“Misalnya isu kontraktor pungutan sampah yang terjadi pada awal tahun ini di KADUN Air Itam, memang saya akui agak kesal dengan isu tersebut.

 

“Namun, berkat usaha ‘Wira Kuning’, ‘Wira Hijau’ dan wira-wira lain dalam MBPP perkara tersebut berjaya ditangani walaupun kerja mengutip sampah ini bukan kerja mereka tetapi (kerja) kontraktor dilantik.

 

“Mereka juga kurang tidur dan rehat demi memastikan isu kutipan sampah ini selesai, ditambah pula dengan sambutan Tahun Baru Cina, apa yang boleh saya katakan khidmat mereka amat cemerlang sekali,” kongsi Soon Siang lagi.

Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Ahli Majlis bagi MBPP, Tan Soo Siang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat antara yang turut serta dalam majlis keraian tersebut.

 

Difahamkan, majlis tersebut diadakan sebagai simbol penghargaan Soon Siang kepada kakitangan JPP dan Jabatan Landskap yang berkhidmat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam dekat sini.

 

Selain hidangan makan tengah hari ala buffet, mereka yang hadir juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah menarik.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD