Kanak-kanak disleksia perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh masyarakat

GEORGE TOWN – Presiden Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang, Puan Tan Lean Kee berharap agar kanak-kanak yang mengalami disleksia diberi perhatian sepenuhnya oleh masyarakat.

Jelasnya, perhatian diberikan masyarakat amat penting dalam meningkatkan tahap pembelajaran mereka setaraf kanak-kanak normal yang lain.

“Seperti kita ketahui, kanak-kanak disleksia mengalami sedikit gangguan dalam pembelajaran seperti sukar untuk membaca, mengeja dan mengira.

“Mereka ini perlu diberikan perhatian lebih berbanding kanak-kanak normal agar potensi mereka tidak tersekat walaupun mempunyai kekurangan daripada segi kemampuan pembelajaran.

“Perlu diingat, kanak-kanak adalah pemimpin masa hadapan, justeru masa depan mereka bergantung kepada kita dalam mencorakkan mereka,” ujar beliau ketika berucap pada Forum Kanak-kanak Disleksia Twinkle-twinkle Little Star dekat Penang Digital Library baru-baru ini.

Hadir sama, Pakar Pediatrik, Dr. R.Sathyabama, para guru dan ibu bapa yang mempunyai anak-anak penghidap disleksia.

Mengulas lanjut, Lean Kee yang juga isteri kepada Ketua Menteri berharap agar lebih banyak forum berkaitan gejala tersebut dianjurkan bagi membantu ibu bapa, guru-guru dalam memahami tingkah laku anak-anak disleksia.

Difahamkan antara individu terkenal di dunia yang pernah mengalami disleksia termasuklah Albert Einstein, Leonardo da Vinci, Thomas Edison, Tom Cruise, Orlando Bloom dan Steve Job.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI