PULAU BETONG – Pendekatan inklusif dalam pelaksanaan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) terus diperluas melalui penganjuran Karnival Islami Masyarakat MADANI yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh dekat sini.
Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, karnival berkaitan diadakan bersempena siri Jelajah APAI2030 yang bertujuan membawa mesej pembangunan Islam secara menyeluruh.
“Pelaksanaan APAI2030 kini bersifat lebih menyeluruh serta terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan tidak lagi terhad kepada institusi masjid semata-mata, sekali gus membuktikan bahawa ia adalah agenda menyeluruh dan inklusif,” ujar beliau semasa merasmikan karnival tersebut pada 20 Julai 2025.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri, Prof. Madya Dr. Mohd. Sukki Othman; Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Rosidi Hussain; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Dato’ Rosli Halim serta dif-dif kehormat yang lain.

Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP menegaskan bahawa penglibatan komuniti dalam program seumpama itu amat penting demi menyemarakkan pembangunan sahsiah dan spiritual masyarakat Islam di negeri ini.
“Pendekatan bersemuka dan turun padang seperti penganjuran Karnival Islami Masyarakat MADANI mampu memperkukuh nilai MADANI dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu, usaha ini turut menyemarakkan pembangunan sahsiah dan kerohanian umat Islam di negeri ini secara menyeluruh dan efektif,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad turut menyeru kepada seluruh umat Islam agar merebut peluang untuk menyumbang ke arah kelestarian dan pembangunan masjid melalui instrumen wakaf.
“Usaha memperkasa peranan institusi masjid di Pulau Pinang terus diperkukuh menerusi pelancaran Tabung Sumbangan Wakaf Masjid-Masjid Pulau Pinang.
“Sumbangan wakaf bukan sahaja menjana impak fizikal, malah memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat dari sudut pendidikan, ekonomi dan sosial.
“Maka, tabung ini bakal dimanfaat untuk pelbagai keperluan termasuk penyelenggaraan masjid, pembangunan prasarana baharu dan program pengimarahan,” jelasnya sambil memaklumkan bahawa MAINPP turut merancang untuk memperluas capaian sumbangan melalui platform digital bagi memudahkan orang ramai menyumbang dengan lebih cepat, telus dan sistematik.
Karnival tersebut turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk forum perdana, pameran agensi, gerai jualan serta aktiviti untuk keluarga dan belia, sekali gus menarik perhatian ratusan pengunjung dari sekitar kawasan Balik Pulau.