BERTAM – Karnival Islami Masyarakat Madani akan memberi fokus kepada tema pembangunan sosioekonomi melalui instrumen wakaf yang merupakan salah satu tonggak di dalam Agenda Pembangunan Agama Islam (APAI2030) Negeri Pulau Pinang.
Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, pembangunan sosioekonomi umah melalui wakaf adalah penting untuk memastikan umat Islam di negeri Pulau Pinang bergerak seiringan dengan kemajuan negeri ini.
“Selain itu, untuk makluman semua hadirin, APAI2030 negeri Pulau Pinang ini terdiri daripada lima teras meliputi Pembangunan Sosioekonomi, Pembangunan Pendidikan, Pembangunan Keluarga, Pembangunan Anak Muda, Pembangunan Dakwah dan Tarbiah yang dapat menggambarkan tekad Kerajaan Negeri di bawah portfolio Exco Pembangunan Agama Islam.
“Ini berperanan untuk kembali mengangkat kemuliaan dan kehebatan ajaran serta didikan Rasulullah SAW.
“APAI 2030 digerakkan melalui 14 strategi dan 70 pelan tindakan yang inklusif dengan Institut
Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang yang dikenali sebagai Al-Hady Centre berfungsi sebagai badan pemikir kepada Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.
“Agenda ini akan direalisasikan dengan kerjasama erat setiap agensi-agensi Islam kerajaan negeri Pulau Pinang secara
bersepadu,” ujarnya pada Karnival Islami Masyarakat Madani Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 dekat Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas di sini, kelmarin.
Hadir sama Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman; Pegawai Daerah bagi Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Wakaf MAINPP), Abdul Mohsein Mohd. Shariff
Pengisian karnival merangkumi program-program dan aktiviti bermanfaat kepada masyarakat setempat seperti kejohanan memanah tradisional peringkat negeri Pulau Pinang, kejohanan karom peringkat daerah SPU, gerai-gerai jualan produk halal, pameran agensi-agensi Islam Negeri Pulau Pinang, jabatan kerajaan badan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, turut diadakan pelbagai pertandingan yang mampu memupuk semangat pengimarahan anak-anak muda ke masjid melalui pertandingan khat, tilawah,azan dan juga khutbah.
“Tidak ketinggalan , sokongan badan-badan korporat yang melaksanakan misi tanggungjawab sosial korporat mereka.
“Alhamdulillah saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Affin Bank di atas tajaan esklusif bernilai RM30,000 kepada Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang bagi tajaan yuran pengajian kepada para pelajar asnaf daripada golongan B40 dengan setiap pelajar menerima tajaan sebanyak RM1,000 seorang.
“Affin Bank turut menyumbang penajaan
bagi 100 pelajar asnaf untuk menerima manfaat keahlian Penang Islamic Digital Library (PIDL). Sesungguhnya tajaan
ini membuktikan kecaknaan badan korporat seperti Affin Bank dalam menyokong teras pembangunan pendidikan di dalam APAI 2030 bagi melahirkan modal insan terbaik di kalangan pelajar yang berkeperluan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : EXCO