Karnival Rakyat Bersama TKM I rai komuniti, serikan Deepavali

Admin
img 4711

BATU MAUNG – Karnival Rakyat Bersama Timbalan Ketua Menteri I (TKM I) dan Siri Jelajah Takaful Masuk Kampung menjadi platform terbaik untuk meraikan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti menarik dan berinformasi.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, karnival tersebut menjadi medan untuk menyemarakkan semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan penduduk di kawasan Batu Maung.

img 4713

“Ada pertandingan mewarna untuk anak-anak, permainan rakyat seperti congkak dan tarik tali di padang serta gunting rambut percuma untuk 100 orang.

“Di sekeliling pentas pula, suasananya meriah dengan Pasar Pasola yang menampilkan 40 gerai usahawan tempatan dan inilah peluang kepada usahawan kecil menambah rezeki sambil memperkenalkan produk mereka,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara pada 12 Oktober lalu.

Tambah beliau, penganjuran karnival ini juga mendapat sambutan menggalakkan dengan penglibatan 36 agensi kerajaan dan swasta sebagai pempamer bagi memperkenal pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat.

Selain itu, tujuh syarikat mengambil bahagian dalam temu duga terbuka yang diadakan sepanjang program berlangsung.

img 4716Sementara itu, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) turut menjayakan karnival dengan menganjurkan sesi ‘pocket talk’ bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan takaful dalam kehidupan seharian.

“Melalui perkongsian santai ini, masyarakat dapat memahami bahawa takaful bukan sekadar perlindungan kewangan, tetapi juga satu bentuk tanggungjawab sosial serta semangat kebersamaan dalam membantu antara satu sama lain ketika menghadapi musibah,” jelas Mohamad.

Sempena sambutan Deepavali yang bakal tiba, Mohamad memberitahu bahawa penyampaian hamper bernilai RM20,000 kepada 120 penerima dalam kalangan masyarakat India di Batu Maung sebagai tanda penghargaan dan semangat perpaduan turut diadakan serentak.

“Perayaan Deepavali melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, serta nilai kasih sayang dan perpaduan yang menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

img 4715

Dalam majlis sama, turut disampaikan enam unit kerusi roda kepada penerima yang memerlukan, 10 unit komputer riba kepada pelajar terpilih, serta 200 set barangan keperluan asas hasil sumbangan Persatuan Takaful Malaysia kepada keluarga asnaf dan golongan memerlukan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: PEJABAT TKM I