GEORGE TOWN – Hasil karya yang diterima bagi pertandingan mewarna dan melukis anjuran Buletin Mutiara sempena tema “Wanita Diperkasa, Komuniti Sejahtera” serta “Sukan Gaya Hidup Sihat” disifatkan bukan sahaja menyerlahkan bakat peserta dari seluruh negara, malah mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai medium promosi seni, warisan dan pelancongan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua berkata, panel juri berdepan tugas yang mencabar apabila banyak karya yang dipersembahkan mempamerkan kreativiti tinggi serta penggunaan warna yang menarik.
“Penyertaan daripada beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Selangor dan Johor turut memperlihatkan kepelbagaian pendekatan seni sehingga berjaya memberikan impak visual yang kuat kepada panel penilai.
“Panel juri sebulat suara memilih karya terbaik berdasarkan keunikan, nilai seni serta kreativiti penggunaan warna yang dipersembahkan.
“Melihat kepada kualiti karya yang dihasilkan, saya berpandangan ia tidak seharusnya terhenti sebagai penyertaan pertandingan semata-mata, sebaliknya boleh diketengahkan menerusi pameran di ruang terbuka, platform dalam talian mahupun galeri seni sebagai usaha menarik minat generasi muda terhadap seni visual,” katanya ketika ditemui selepas sesi penjurian baru-baru ini.
Heng Hua dalam pada itu turut mencadangkan agar karya-karya berkenaan diterbitkan dalam bentuk poskad atau buku sebagai dokumentasi dan medium promosi yang lebih meluas.
Sementara itu, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Zuraidah Mohamad Arshad menyifatkan pertandingan tersebut berjaya menghimpunkan penyertaan dari seluruh negara sekali gus membuktikan inisiatif Buletin Mutiara mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Peraduan ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu daripada pelbagai lapisan umur, malah mampu meningkatkan nilai karya seni tempatan jika diperluaskan penggunaannya.
“Hasil karya yang diterima juga sangat berkualiti dan mempunyai nilai untuk diketengahkan.
“Karya-karya ini juga boleh dikembangkan sebagai bahan promosi seperti poskad, poster, sampul surat atau diterbitkan dalam bentuk buku supaya menjadi kenangan serta memberi nilai tambah kepada hasil seni peserta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelidikan dan Advokasi, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), S. Shangitha berkata, karya yang dihasilkan wajar dipamerkan sebagai simbol penghargaan kepada peserta selain memperluaskan penggunaannya dalam pelbagai bentuk penerbitan.
Beliau turut mencadangkan agar pertandingan tersebut diteruskan menerusi kerjasama strategik melibatkan Buletin Mutiara, MSNPP dan PWDC dengan pelbagai tema yang lebih inklusif pada masa hadapan.
“Program seperti ini tidak seharusnya tertumpu kepada wanita sahaja, sebaliknya boleh diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan lelaki dan keluarga.
“Kita juga boleh meneroka tema berkaitan warisan, kebudayaan, perpaduan, muzium, artifak, makanan ikonik Pulau Pinang serta pelancongan bagi memperkenalkan keunikan negeri ini kepada masyarakat melalui hasil karya kreatif,” katanya.
Tambah Shangitha, pendekatan tersebut bukan sahaja dapat menggalakkan penyertaan lebih meluas, malah membantu mempromosikan identiti Pulau Pinang melalui medium seni yang lebih dekat dengan masyarakat.
Berikut adalah senarai pemenang mengikut kategori peraduan :
Peraduan Bakat Si Cilik Mewarna – Wanita Diperkasa, Komuniti Sejahtera
- 1. Nur Izzati Safia binti Mohamad Najib
- 2. Muhammad Anaqi Syamil bin Arif
- 3. Nur Nuha Humaira’
- Saguhati – Nor Anis Adilah binti Muhd. Abdullah; Nur Qaseh Al-Zahra binti Abdul Syahid; Lim Joyce; Lim Jin; Charlotte Lim Xi En
Pertandingan Melukis Poster – Wanita Diperkasa, Komuniti Sejahtera
- 1. Ooi Man Xuan
- 2. Cheah Siew Siew
Peraduan Bakat Si Cilik Mewarna – Sukan Gaya Hidup Sihat
- 1. Ang See Hui
- 2. Wong Zion
- 3. Chuah Jia Yu
- Saguhati – Tang Zhi Xuan; See Tau Zhi Qi; Suvaarnesval A/L Gobinathan; Elizabeth Kaylee Yik; Renne Lee Lei En
Pertandingan Melukis Poster – Sukan Gaya Hidup Sihat
- 1. Ch’ng Chiew Hui
- 2. Aisywariyaa A/P Karthigesu
Peraduan Online – Penang Mekar Hati Terpikat
@nabilahila777
Tahniah kepada semua pemenang!