‘Kasih Ibu, Kita Bersama’ warnai Dataran Kuala Pulau Betong

Admin
0ef0b6f0 8973 4105 8d01 9325463c1828 GOH Choon Aik (tiga dari kanan) dengan diiringi Muhammad Bakhtiar Wan Chik (dua dari kanan) dan Nurhidayah Che Rose (kanan sekali) meluangkan masa melawat reruai ekonomi setempat sempena berlangsungnya program ‘Kasih Ibu, Kita Bersama’ di Dataran Kuala Pulau Betong di sini baru-baru ini.

PULAU BETONG – Wajah Dataran Kuala Pulau Betong kini berubah wajah dan menjadi lebih meriah apabila ratusan penduduk setempat berkumpul bagi menjayakan program ‘Kasih Ibu, Kita Bersama’ di sini baru-baru ini.

Program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Ibu itu bertambah bermakna apabila turut membawa mesej perpaduan komuniti serta selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, diiringi Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik hadir menyempurnakan acara perasmian program tersebut.

Pengarah program, Nurhidayah Che Rose yang dihubungi kemudian memberitahu Buletin Mutiara bahawa penganjuran pelbagai acara di lokasi tersebut sekali gus melambangkan komitmen Kerajaan MADANI pada peringkat negeri dan Persekutuan dalam mentransformasikan kawasan berkenaan.

“Penghargaan buat Kementerian Kewangan Malaysia atas inisiatif Projek Kampung Angkat MADANI yang telah menaik taraf serta mencantikkan Dataran Kuala Pulau Betong.

“Kini, kawasan ini lebih kondusif dan selesa untuk penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” ujarnya.

ee786f94 5f61 4048 b44a bd5cf85093ab
Pertandingan mewarna kanak-kanak yang berlangsung sempena program ‘Kasih Ibu, Kita Bersama’ di sini baru-baru ini.
2bfcdb38 1b7c 4e9f aa09 9077c7f76b22
BARISAN pemimpin wanita lokal yang menyertai program ‘Kasih Ibu, Kita Bersama’ merakamkan gambar kenang-kenangan di sini baru-baru ini.

Menurut Nurhidayah lagi, penganjuran pelbagai acara di sini sekali gus membuktikan bahawa kolaborasi antara kepimpinan dan komuniti setempat mampu menyuntik semangat harmoni serta mengangkat martabat wanita sebagai tunjang utama dalam institusi keluarga dan masyarakat.

Pertandingan mewarna kanak-kanak, pameran seni dan budaya, pemeriksaan kesihatan dan konsultasi kebajikan, reruai ekonomi setempat serta sesi cabutan bertuah antara acara menarik sepanjang penganjuran program ‘Kasih Ibu, Kita Bersama’ tersebut.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB