GEORGE TOWN – Cadangan mewujudkan kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Butterworth disifatkan sebagai satu keperluan mendesak bagi memudahkan golongan memerlukan mengakses bantuan kebajikan dengan lebih cepat dan mudah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran berkata, cadangan tersebut selari dengan titah Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Ramli Ngah Talib yang menekankan reformasi birokrasi serta penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra rakyat.
“Berdasarkan pengalaman saya turun padang hampir setiap hari, masih ramai rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal berdepan kesukaran untuk mengakses bantuan kebajikan.
“Ada yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, bergantung kepada anak atau jiran serta perlu menggunakan beberapa pengangkutan awam hanya untuk membuat semakan bantuan.
“Malah, terdapat juga warga emas uzur yang masih perlu berulang-alik semata-mata untuk menguruskan urusan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan TYT pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, pada 12 Mei 2026.
Mengulas lanjut, Kumaran berkata bahawa isu tersebut bukan sekadar melibatkan aspek keselesaan, sebaliknya turut menyentuh soal maruah dan kebajikan rakyat.
“Jika kerajaan mampu mempercepat urusan melalui pendigitalan, maka kerajaan juga perlu memastikan akses fizikal kepada bantuan kebajikan tidak menjadi penghalang kepada golongan yang paling memerlukan.
“UTC Butterworth merupakan lokasi strategik yang mudah diakses rakyat di Seberang Perai dan kewujudan kaunter JKM di situ dapat mempercepatkan urusan bantuan di samping mengurangkan kos perjalanan rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, langkah tersebut juga diyakini mampu mengurangkan kesesakan di pejabat JKM sedia ada serta memastikan lebih ramai rakyat yang layak menerima bantuan dapat dibantu dengan segera.
“Kita tidak boleh bercakap tentang kerajaan prihatin jika rakyat masih perlu bersusah payah hanya untuk mendapatkan bantuan asas.
“Bantuan kebajikan bukan sekadar ihsan kerajaan, tetapi merupakan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat,” katanya lagi.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN