Kastam akan dibekal alat pengimbas canggih bendung penyeludupan – Guan Eng

Admin

BAGAN JERMAL – Kerajaan Persekutuan berhasrat membekalkan alatan pengimbas canggih kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bernilai RM700 juta bagi membendung aktiviti penyeludupan.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selepas merasmikan Projek Naik Taraf Dewan Serba Guna Kastam dekat Perumahan Kastam baru-baru ini.

Guan Eng berkata, JKDM memerlukan kelengkapan lebih canggih dan terkini bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang telah menyebabkan kerajaan kehilangan berbilion ringgit setiap tahun.

Untuk tujuan tersebut, Guan Eng menjelaskan sebanyak 69 alat pengimbas akan ditempatkan di seluruh negara membabitkan pelabuhan dan lapangan terbang.

Kita (kerajaan) merancang untuk meletakkan 55 alat pengimbas kargo yang dianggarkan bernilai RM12 juta setiap satu dekat semua pelabuhan.

Selain itu, lapan buah alat pengimbas bagasi dan alat pengimbas badan (6) turut akan dibekalkan di semua lapangan terbang seluruh negara pada penghujung tahun hadapan,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berharap dengan adanya peralatan pengimbas terkini berkenaan, hasil cukai kerajaan akan meningkat.

Kerajaan Persekutuan kehilangan hampir RM5 bilion setiap tahun akibat daripada penyeludupan rokok.

Untuk menangani perkara tersebut, penguatkuasaan yang lebih berkesan membabitkan aktiviti penyeludupan rokok akan ditingkatkan sejurus akta diwartakan iaitu hukuman denda maksimum RM500,000 atau maksimum lima tahun penjara,” ujarnya lanjut.

Hadir sama Exco Belia & Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Dato’ Lim Hock Seng (mantan Exco Negeri dan ADUN Bagan Jermal), Datuk Sri T. Subromaniam (Ketua Pengarah Kastam Malaysia) dan Saidi Ismail (Pengarah Kastam Negeri Pulau Pinang).

Sebelum itu, Guan Eng merasmikan dewan serba guna berkenaan yang telah siap dinaiktaraf baru-baru ini dengan kos sebanyak RM92,000 hasil sumbangan melalui peruntukan Pusat Khidmat Parlimen Bagan.