GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan secara bersepadu bagi menangani isu pencemaran Sungai Kereh di Tasek Gelugor, khususnya yang dikaitkan dengan pengurusan sisa najis babi di Kampung Selamat.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, usaha berkenaan dilaksanakan dengan penglibatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi teknikal berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran, memastikan pematuhan terhadap peraturan serta melaksanakan langkah pembetulan secara menyeluruh dan berkesan.
Sejak 4 Mei 2026, semua ladang ternakan babi di Kampung Selamat telah diarahkan menghantar sisa najis ke Stesen Pemindahan Ampang Jajar (SPAJ) untuk diproses di Loji Biogas Ampang Jajar.
“Pemantauan mingguan turut dilaksanakan di saliran awam sekitar Tingkat Selamat 1 hingga 11, selain pemeriksaan berkala terhadap sistem pengurusan sisa dan kolam takungan serta pemantauan bacaan ammonia bagi mengenal pasti punca pencemaran.
“Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan, termasuk pemeriksaan sistem pengurusan sisa dan kolam takungan, penyedutan serta pengosongan kolam bagi mengelakkan limpahan, khususnya ketika hujan lebat,” ujarnya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 4 November 2026.
Dalam isu berasingan, Mooi Lye memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melaksanakan pemantauan berkala sebanyak empat kali setahun di kawasan panas (hot spot) dan ladang berisiko tinggi di Seberang Perai Selatan (SPS) bagi menangani peningkatan populasi lalat.
Beliau berkata, isu tersebut antara lain dikaitkan dengan aktiviti penternakan ayam dan pertanian, khususnya kelemahan dalam pengurusan serta pelupusan tinja ayam selepas tamat kitaran penternakan.
“Selain mengeluarkan notis dan kompaun terhadap ladang yang gagal mematuhi syarat serta menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk, operasi penguatkuasaan bersepadu turut dilaksanakan bersama-sama JPV Pulau Pinang.
“Bagi tindakan segera, MBSP turut melaksanakan semburan kawalan lalat di kawasan terjejas serta mengarahkan ladang ternakan berhampiran mengambil langkah kawalan sewajarnya.
“Namun begitu, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian terhadap isu ini melalui pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan masalah kacau ganggu lalat dapat ditangani serta menjamin kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara,” jelasnya.
Sementara itu, berhubung projek pemulihan Tapak Pelupusan Sampah Jelutong (TPSJ), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi itu memberitahu bahawa ia tidak dibatalkan, namun masih tertakluk kepada pematuhan keperluan teknikal dan perundangan yang ditetapkan bagi mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).
Beliau berkata, JAS Pulau Pinang melalui surat bertarikh 28 September 2026 telah membangkitkan isu keselarasan guna tanah yang masih perlu diselesaikan bagi pertimbangan kelulusan EIA.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memutuskan supaya lanjutan masa diberikan sehingga 31 Januari 2027 dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Oktober 2026 bagi membolehkan isu berkenaan diselesaikan, susulan penerimaan pakai prosedur permohonan Kebenaran Merancang (KM) Tempoh Terhad di Pulau Pinang.
“Projek pemulihan TPSJ tidak dibatalkan kerana mempunyai risiko alam sekitar sekiranya dibiarkan tanpa rawatan selamat terhadap larut resap (leachate) dan gas metana,” katanya.
Tegasnya, Kerajaan Negeri bersama-sama agensi berkaitan akan terus melaksanakan pemantauan berkala di tapak berkenaan bagi memastikan risiko kebakaran serta limpahan bahan pencemar dapat dikawal.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS