FSP perkukuh perlindungan wanita, tangani keganasan siber

Admin
tkm1104n

 

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperkasakan agenda keselamatan dan perlindungan wanita menerusi pengukuhan inisiatif First Support Point (FSP) serta penubuhan Pasukan Petugas Anti-Keganasan Seksual Dalam Talian dan Buli Siber.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, pemerkasaan golongan wanita tidak akan lengkap sekiranya aspek keselamatan serta perlindungan mereka diabaikan.

“Menerusi platform Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), pelaksanaan Dasar Keluarga Selamat kini diperkukuh yang mana setakat ini, program FSP berjaya melatih 646 sukarelawan dan merujuk 313 kes keganasan rumah tangga kepada agensi penguatkuasaan serta kebajikan.

“Pemerkasaan wanita tidak akan lengkap sekiranya aspek keselamatan dan perlindungan mereka tidak diberikan perhatian. Melalui FSP, kita mahu memastikan mangsa keganasan mempunyai akses kepada maklumat dan saluran perlindungan yang bersesuaian supaya mereka tidak perlu berdepan dengan situasi tersebut secara bersendirian,” katanya ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini hari ini.

Menyentuh mengenai cabaran alaf baharu, beliau menjelaskan bahawa bentuk ancaman terhadap keselamatan wanita dan kanak-kanak kini semakin berkembang dan membimbangkan, khususnya dalam ruang digital.

“Gangguan seksual dalam talian dan buli siber bukan sekadar isu penggunaan teknologi. Ia melibatkan keselamatan, maruah, privasi dan kesejahteraan emosi mangsa.

“Isu ini memerlukan tindakan yang melangkaui bidang kuasa satu agensi atau kementerian sahaja,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang itu lagi sambil memaklumkan bahawa pasukan petugas khas berkaitan isu siber dipengerusikan oleh ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Ping.

Hasil kerjasama rentas agensi membabitkan PWDC, Penang Institute, pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti Women’s Centre for Change (WCC), satu Pelan Tindakan Negeri Anti-Keganasan Seksual Dalam Talian dan Buli Siber telah dibangunkan dan dijadualkan dilancarkan pada Disember 2026.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri turut komited memperkasakan kebajikan dengan membantu golongan sasar memperbaiki keadaan hidup serta mencapai kestabilan dalam jangka panjang.

“Antara inisiatif yang terus dilaksanakan adalah Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES), yang bertujuan membantu keluarga meningkatkan kedudukan sosioekonomi dan bergerak ke arah kehidupan yang lebih berdikari.

“Mulai April 2026, kadar pendapatan per kapita bagi penilaian BAES telah diselaraskan daripada RM322 kepada RM368 berdasarkan Garis Panduan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024.

“Bagi tempoh April hingga September 2026, sebanyak 207 kes yang memenuhi syarat telah diluluskan dan menerima manfaat daripada inisiatif ini,” ulasnya lanjut.

Pada sesi penggulungan sama, Siew Khim turut mengulas mengenai isu gelandangan.

Jelasnya, isu tersebut merupakan antara contoh paling jelas mengapa pendekatan pembangunan sosial tidak boleh bergantung kepada satu agensi sahaja.

“Bagi tempoh Januari hingga September 2026, sebanyak 279 operasi telah dilaksanakan di seluruh Pulau Pinang dan seramai 214 individu gelandangan telah direkodkan untuk tindakan lanjut.

“Dalam usaha menangani isu ini, Pusat Transit Harapan Pulau Pinang (PTHPP) terus memainkan peranan penting sebagai pusat perlindungan sementara dan pemulihan sosial.

“Sejak mula beroperasi sehingga 28 Oktober 2026, seramai 301 bekas penghuni PTHPP telah berjaya memperoleh pekerjaan dan tempat tinggal,” katanya.

Namun, beliau mengakui bahawa isu gelandangan berulang masih menjadi cabaran kerana ia melibatkan pelbagai faktor seperti masalah kesihatan mental, kekurangan sokongan keluarga serta kesukaran sesetengah individu untuk menyesuaikan diri dengan peraturan pusat perlindungan.

“Terdapat individu yang telah menerima rawatan dan dikembalikan kepada komuniti, tetapi akhirnya kembali ke jalanan kerana tidak mempunyai sokongan keluarga atau pemantauan rawatan yang berterusan.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa penempatan sementara dan rawatan awal sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu gelandangan secara menyeluruh.

“Untuk makluman, Kerajaan Persekutuan sedang memperhalusi Akta Orang-Orang Papa 1977. 

“Pada Jun 2026, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengadakan bengkel di peringkat kementerian bagi penyediaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengemis dan Gelandangan,” katanya lagi.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI