Kawan-kawan FC johan Piala Demokrasi 2015

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

PULAU TIKUS – Pasukan Kawan-kawan FC muncul juara hasil penentuan ‘lambung syiling’ setelah terikat tiga sama (3-3) bagi sepakan penalti menentang pasukan Persatuan Belia Wira Tanjung FC pada Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Piala Demokrasi 2015 di sini baru-baru ini.

Selaku juara, pasukan terbabit membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000, piala kejohanan dan piala pusingan.

Manakala pasukan Persatuan Belia Wira Tanjung FC menerima hadiah wang tunai, RM1,500 dan piala.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi oleh pasukan Kampung Dodol Tour (KDT) FC dan Slepe FC dengan hadiah bernilai RM1,000 dan RM500 berserta piala masingmasing.

Slepe FC diumumkan sebagai Pasukan Terbaik. Penjaga gol, Hazril Huzaimi Roslan dari pasukan Persatuan Belia Wira Tanjung FC dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik dan Muhammad Naim Naseer Khan dari KDT FC dinobatkan sebagai Penjaring Gol Terbanyak iaitu lapan gol sepanjang dua hari berlangsungnya kejohanan.

Turut diumumkan, Loh Shen Li dari pasukan Persatuan Belia Wira Tanjung FC sebagai Pemain Terbaik. Kesemua mereka membawa pulang wang tunai, trofi dan sijil pengiktirafan.

Kejohanan anjuran Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari turut memperoleh kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pantai Molek.

Malah, penampilan “Abang Burung” turut mencuri tumpuan pada penganjuran berkaitan.

Menurut Zairil, kejohanan yang julung kali dianjurkan itu adalah salah satu landasan bagi merapatkan hubungan antara pemain veteran Pulau Pinang yang pernah beraksi dalam saingan liga tempatan dan belia Pulau Pinang.

“Serentak itu, ia (penganjuran) juga bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada salah seorang pemain veteran Pulau Pinang yang kini memerlukan rawatan perubatan jantung iaitu Salehuddin Che Ros,” katanya yang turut bermain dalam pasukan Zairil All-Stars FC menentang pasukan veteran Pulau Pinang diketuai Datuk Shukor Salleh.

Sebanyak 24 pasukan menyertai kejohanan yang turut mendapat tajaan syarikat korporat, Emico Trophy dan Active Sports Centre.

Turut berentap, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan beberapa Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);