Keadaan kewangan negeri makin pulih, baki AHD meningkat RM235.55 juta

img 20250911 wa0044

GEORGE TOWN – Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mula menunjukkan pemulihan apabila baki Akaun Hasil Disatukan (AHD) meningkat kepada RM235.55 juta setakat 21 Mei 2025 berbanding RM155.94 juta pada Disember 2024.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan bahawa peningkatan itu adalah hasil daripada langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum dan tidak menafikan bahawa AHD telah mencatatkan penyusutan pada setiap tahun mulai tahun 2020.

“Daripada baki pada 31 Disember 2019 berjumlah RM1.15 bilion, sehingga 31 Disember 2024 berjumlah RM155.94 juta dan sehingga 21 Mei tahun ini telah meningkat kepada RM235.55 juta.

“Jika mengambil kira setakat 21 Mei 2025, maka kita dapat melihat bahawa keadaan kewangan negeri menunjukkan kedaaan pemulihan,” ujarnya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah & Komunikasi berkata bahawa Kerajaan Negeri lazimnya merekodkan lebihan hasil atau surplus sebanyak RM80.21 juta pada tahun 2019, sebelum mencatatkan defisit mulai tahun 2020 hingga 2024.

“Prestasi tersebut menunjukkan jumlah perbelanjaan Kerajaan Negeri telah melebihi kutipan hasil dalam tempoh lima tahun berkaitan iaitu dari tahun 2020 hingga 2024.

“Kumulatif defisit yang dicatatkan adalah berjumlah RM998.88 juta.

“Naratifnya, apabila berdepan dengan defisit, maka Kerajaan Negeri perlu menggunakan AHD pada setiap tahun sehingga menyebabkan berlaku penyusutan,” jelasnya lanjut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa penyusutan AHD adalah susulan peningkatan perbelanjaan Kerajaan Negeri terutamanya dalam program-program kebajikan rakyat yang mencecah hampir RM1.02 bilion setakat ini.

“Antaranya adalah Program i-Sejahtera iaitu bantuan untuk ibu tunggal, warga emas, orang kurang Upaya (OKU), anak emas dan lain-lain yang menelan RM370.45 juta.

“Tambahan pula, semasa berlaku pandemik COVID-19, kita juga menyediakan pelbagai insentif dan bantuan kepada rakyat yang memerlukan seperti penjaja, pemandu teksi dan sebagainya yang berjumlah RM174.52 juta.

“Selain itu, setiap tahun Kerajaan Negeri juga memberikan bantuan untuk menyokong penggunaan pengangkutan awam dengan membayar kepada Rapid Penang untuk mengendalikan perkhidmatan bas termasuk BEST Bayan Lepas Free Industrial Zone, BEST Komtar, Bas Percuma CAT dan subsidi tambang feri.

“Kerajaan Negeri turut memberikan insentif kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah yang masih berjalan sehingga kini yang mana Kerajaan Negeri tidak ada komitmen untuk hentikan bantuan ini pada masa akan datang,” ulasnya.

Tambah beliau, beberapa lagi program kebajikan turut dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri seperti bantuan kepada sekolah-sekolah, Tabung Penyelengaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (PTMP), projek pembangunan luar bandar dan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain persatuan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan bagi bantuan Agenda Ekonomi Saksama (AES), peruntukan RIBI, bayaran pinjaman penuntut negeri Pulau Pinang, peruntukan untuk guru agama dan guru KAFA serta penyelenggaraan kecil sekolah.

“Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang, pendaftaran pelajar ke isntitut pengajian tinggi, bantuan nelayan, sumbangan pelajar cemerlang, elaun penarik beca serta Pembangunan Pemerkasaan Gerakan Koperasi Negeri Pulau Pinang (dijenamakan sebagai Geran Mutiara Madani) juga diberikan,’’ katanya.

Justeru, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri telah melaksanakan strategi bagi mengawal perbelanjaan tanpa menjejaskan program-program kebajikan rakyat yang telah dijalankan sebelum ini.

“Kerajaan Negeri cuba melakukan penjimatan di samping berusaha menambah hasil yang mana kita optimis akan semakin meningkat pada tahun ini.

“Saya juga telah menyatakan komitmen dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana menjelang tahun 2028, AHD mampu ditingkatkan kepada hampir RM1 bilion.

“Semua ini saya telah sebutkan dalam DUN tetapi mungkin ada parti lawan malas mencari maklumat, jadi saya berikan maklumat terkini pada hari ini,” tegasnya.

Ditanya mengenai jumlah perbelanjaan bagi bantuan COVID-19, Kon Yeow menegaskan bahawa jumlah tersebut hanya merangkumi 17 hingga 18 peratus sahaja daripada jumlah perbelanjaan kebajikan rakyat sepanjang lima tahun tersebut.

“Apa yang Kerajaan Negeri belanjakan adalah mencapai matlama iaitu membantu rakyat yang terjejas akibat COVID-19, jadi perkara itu tidak perlu dipertikaikan kerana ekonomi ketika itu sangat mendesak,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN