BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri sentiasa cakna menyalurkan peruntukan tertentu kepada sekolah-sekolah di negeri ini dengan harapan ia dapat memudah cara suasana pembelajaran yang lebih selesa serta kondusif.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Iftar Rakyat Bersama Warga Pendidik Daerah Barat Daya dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bayu di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan bahawa majlis tersebut bukan sekadar acara berbuka puasa, malah sebagai platform untuk menghormati peranan para pendidik yang menjadi tunjang pembentukan masa depan anak-anak negeri, khususnya di kawasan Daerah Barat Daya.
“Kehadiran saya pada petang yang mulia ini adalah untuk meraikan semangat kebersamaan dan memberi penghormatan kepada barisan pendidik yang memegang amanat membentuk masa depan anak-anak negeri kita.
“Dalam konteks ini, di bawah aspirasi Visi Penang2030, pembangunan negeri bukan hanya tertumpu kepada teknologi dan infrastruktur, sebaliknya perlu disokong oleh sentuhan kemanusiaan seorang guru.
“Sehebat mana pun teknologi yang kita bangunkan, ia tidak akan bermakna tanpa peranan guru, yang mana teknologi memberi akses, tetapi gurulah yang memberi arah serta nilai,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz serta isteri, Dr. Norhailee Abdul Rasid.
Turut serta, Pegawai Daerah Barat Daya, Dato’ Rosli Halim; Pengarah Hospital Balik Pulau, Dr. Wong Khar Ming; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Yusof Shaari; Pegawai Pendidikan Daerah Barat Daya, Mohd. Siroj Abdul Lathiff dan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab. Wahab.
Mengulas mengenai pembangunan pendidikan, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan kemajuan fizikal dan kemajuan ilmu bergerak seiring.
“Kita tidak mahu wujud jurang antara pembangunan infrastruktur dan kualiti pendidikan, sebaliknya memastikan kedua-duanya saling melengkapi demi masa depan generasi muda.
“Kecekapan pentadbiran di peringkat tempatan amat penting bagi memastikan setiap bentuk bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang layak secara pantas dan berkesan, sekali gus memberi manfaat terus kepada murid serta keluarga memerlukan.
“Oleh itu, adalah diharapkan pihak sekolah dan pegawai daerah mendapatkan sebut harga bagi pelaksanaan pemasangan infrastruktur yang diperlukan, khususnya melibatkan kerja-kerja berkaitan pendawaian elektrik khas untuk pembangunan dewan utama sekolah ini,” jelasnya.

Berucap sebelum itu, Azrul Mahathir turut menekankan bahawa walaupun menghadapi had peruntukan bagi pembiayaan prasarana, Kerajaan Negeri tetap mengutamakan kebajikan murid dan kelangsungan proses pembelajaran yang kondusif.
“Selain Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada setiap murid Tahun 1 hingga Tingkatan 6, saya turut menyalurkan sumbangan one-off berupa baucar RM100 kepada 114 murid prasekolah berpendapatan per kapita bawah RM700 dengan jumlah keseluruhan RM11,400.
“Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Balik Pulau atas peruntukan pemasangan pendingin hawa di dewan utama SMK Seri Bayu, dan berharap bantuan Ketua Menteri dapat menyelesaikan isu pendawaian elektrik yang masih tertangguh,” ujarnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT