Kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, syarikat pengurusan mungkin berdepan risiko kontrak tamat

GEORGE TOWN – Syarikat pengurusan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. berkemungkinan berdepan tindakan penamatan konsesi sekiranya didapati berlakunya ketidakpatuhan terma-terma perjanjian yang telah dianugerahkan melalui tender terbuka pada September 2012.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) semalam, pihaknya telah menerima laporan daripada pihak Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berikutan kejadian kebakaran yang berlaku sejak 12 Januari lalu.

 

Walau bagaimanapun, pihak MMK masih inginkan satu lagi laporan berhubung pengurusan di tapak pelupusan sampah berkenaan.

“Hal ini demikian kerana, daripada laporan yang dibentangkan, dipercayai berlakunya kelemahan dari segi pengoperasian.

 

“(Dan) Exco (melalui MMK) telah mengarahkan pihak BKT serta MBSP untuk melihat bentuk tindakan yang boleh diambil selanjutnya sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan terma dalam konsesi,” ujarnya pada sidang media yang diadakan dekat pejabatnya di Komtar pada 20 Januari 2022.

KAWASAN kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dekat Nibong Tebal. (Gambar fail Buletin Mutiara).

Sebagai rekod, Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. telah dipilih untuk menguruskan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung melalui lantikan panel penilai tender terbuka pada tahun 2012 dengan tempoh konsesi adalah selama 20 tahun.

 

Antara skop yang terkandung dalam konsesi tersebut adalah syarikat berwajib perlu menguruskan pengoperasian tapak pelupusan sampah Fasa 1 dan Fasa 2 yang telah dibuka sejak tahun 1980-an dan menyiapkan fasa baharu, Fasa 3 untuk menerima sisa buangan apabila Fasa 1 dan Fasa 2 ditutup kelak.

 

Mengulas pertanyaan wartawan berhubung cadangan menggunakan sistem pembakaran sampah (incinerator) bagi menggantikan sistem pelupusan sedia ada (landfill), Kon Yeow memaklumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkannya.

 

(Namun), sekiranya syarikat tersebut mempunyai alternatif (bagi pelupusan sisa-sisa buangan) bagi menggunakan teknologi-teknologi lain, mereka boleh kemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan.

“(Dan) berdasarkan trend semasa, Kerajaan Negeri juga sedang meneliti teknologi serta kaedah-kaedah pelupusan sisa buangan lain selain yang ada kini,” katanya.

JABATAN Alam Sekitar masih melakukan cerapan haba titik panas bagi mengesan api dari dalam tanah.

Tambah Kon Yeow, di bawah terma dan skop konsesi pada tahun 2012 adalah untuk membina sebuah kemudahan pemulihan bahan atau ‘material recovery facility’ (MRF).

Kemudahan ini perlu dibina untuk menerima sisa-sisa buangan bagi proses kitar semula.

“(Hal ini demikian kerana), 40 peratus sisa-sisa buangan boleh dikitar semula melalui proses pengelasan dalam MRF ini.

“Manakala, baki (60 peratus) akan dihantar ke tapak pelupusan sampah sebagai langkah mengurangkan jumlah sisa buangan di tapak pelupusan sampah tersebut,” jelasnya yang turut menegaskan bahawa tumpuan Kerajaan Negeri pada masa ini adalah untuk menggalakkan lagi amalan kitar semula sisa-sisa buangan melalui kempen kesedaran dan aktiviti-aktiviti berkaitan.

DR. Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Dalam pada itu, sambil menyifatkan kejadian kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung sebagai bencana paling buruk, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus memberitahu bahawa operasi memadamkan kebakaran giat dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Saya telah dimaklumkan bahawa operasi memadamkan kebakaran dilakukan mengikut zon-zon seperti yang ditetapkan oleh pihak JBPM yang mana data menunjukkan bahawa setiap zon kini merekodkan antara 30 hingga 50 peratus telah berjaya dipadamkan.

“Dari masa ke masa, kita berharap agar proses ini dapat ditamatkan segera walaupun agak sukar terutama ketika adanya angin, namun saya percaya pihak berkaitan telah mengambil langkah-langkah perlu termasuk merangka kaedah lain,” ulasnya yang turut hadir pada sidang media berkaitan di sini.

CERAPAN haba titik panas di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Mengulas lanjut, Ahmad Jailani menyatakan bahawa selain menggunakan kaedah pengeboman air atau pemadaman dari udara, kaedah menimbus kawasan kebakaran dengan menggunakan tanah turut dilaksanakan dengan bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang membantu mencerap haba titik panas supaya dapat mengesan api dari dalam tanah lebih cepat.

 

 

Malah, turut dilaporkan bahawa pihak JAS juga memantau julat kualiti pencemaran udara, Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi mengenal pasti parameter pencemaran yang wujud.

“Setakat hari ini, dilaporkan bahawa hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka berbanding dua PPS sebelum ini susulan arahan pihak berkuasa yang memerlukan penduduk berpindah sementara demi keselamatan dan kesihatan mereka,” jelasnya lanjut.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING