Kebersihan tandas awam Pulau Pinang pada tahap baik, purata penarafan tiga bintang

img 20251123 wa0186

PERAI – Tahap kebersihan tanda awam di negeri Pulau Pinang berada pada tahap baik, dengan purata penarafan tiga bintang dan ke atas.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata pencapaian itu adalah hasil daripada usaha berterusan pelbagai pihak dalam menjaga kebersihan dan keselesaan tandas awam.

“Usaha berterusan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat, tetapi turut
menyerlahkan imej Pulau Pinang di mata dunia.

“Dahulu negeri Pulau Pinang dimomokkan sebagai “Darul Sampah”, kini tidak lagi kerana negeri kita kini bersih dan menawan selari dengan gelarannya”Pearl of The Orient”.

“Oleh itu, sambutan Hari Tandas Sedunia ini bukan sahaja mengajak kita untuk terus memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan tandas tetapi juga dapat memperkukuh imej Pulau Pinang sebagai negeri bersih, indah dan berdaya huni, selaras dengan persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Pasaraya Mydin Bukit Mertajam di sini pada 21 November 2025.

img 20251123 wa0201img 20251123 wa0157img 20251123 wa0159img 20251123 wa0196img 20251123 wa0180img 20251123 wa0198img 20251123 wa0163

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Sr. Cheong Chee Hong dan Ketua Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Muhamad Husni Mahmud.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pulau merupakan inisiatif yang mencerminkan komitmen bersama semua pihak untuk memastikan kemudahan tandas awam di negeri ini sentiasa bersih, wangi dan menawan (BMW).

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan Dasar BMW berkuat kuasa 1 Januari 2024 yang bermatlamat untuk meningkatkan imej negara, terutama di lokasi pelancongan utama dengan memastikan kebersihan dan keselesaan tandas.

“Pelaksanaan Dasar BMW ini dijadikan penanda aras yang penting yang mana dasar ini turut dijadikan syarat penting dalam pembaharuan lesen perniagaan.

“Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MBPP dan MBSP atas usaha gigih dalam melaksanakan pemantauan berkala, menaik taraf kemudahan serta memastikan kebersihan tandas awam sentiasa berada pada
tahap terbaik.

“Usaha ini turut diperkukuh melalui Pengiktirafan Penarafan Bintang Tandas Awam yang menjadi panduan penting dalam menilai dan mengekalkan standard kebersihan yang tinggi di seluruh negeri,” katanya.

Sambutan pada tahun ini menyaksikan stesen minyak Petronas Sungai Dua dinobatkan sebagai johan bagi Pertandingan Tandas Terbersih bagi kategori stesen minyak, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta piala.

Pasaraya Gurney Plaza pula dinobatkan sebagai johan bagi kategori pusat membeli-belah, manakala bagi kategori restoran dimenangi oleh FuHouse Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Masjid Abdul Fahim dinobatkan tandas paling bersih dalam kategori rumah ibadat, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hwa serta Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Union masing-masing johan dalam kategori sekolah rendah dan menengah.

Anugerah Penghargaan Khas kategori hotel diberikan kepada hotel The George Penang manakala kategori kompleks makanan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjadi milik Kompleks Makanan Taman Sentosa, Nibong Tebal.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS