BAYAN LEPAS – Lubang benam yang dikesan di Jalan Dato’ Ismail Hashim, Bayan Lepas pada 4 November 2025 lalu dipercayai berpunca daripada kebocoran paip bawah tanah.
Menurut Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, setakat ini siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada paip berkenaan adalah milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) atau Indah Water Konsortium (IWK).
“Lubang benam yang terletak di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara itu dianggarkan berukuran lima meter (m) panjang, 3.5m lebar dan sedalam 1.9m.
“Hasil kerja-kerja penggalian di lokasi mendapati terdapat aliran air bawah tanah yang dipercayai menjadi punca mendapan tanah.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memaklumkan kepada PBAPP dan IWK sebagai tindakan lanjut, manakala kerja penggalian masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar yang mengakibatkan kebocoran.
“PBAPP akan menjalankan ujian bagi mengesan lokasi kebocoran, manakala IWK akan memperkukuh sistem paip saliran yang terletak kira-kira enam meter di bawah tanah,” ujarnya semasa sesi sidang media selepas meninjau lokasi kejadian dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Ketua Pegawai Operasi PBAPP, Ir. Rosydi Lat serta wakil-wakil jabatan berkaitan.
Mengulas lanjut, Zairil turut memaklumkan bahawa Jalan Kenari telah ditutup sepenuhnya bermula dari persimpangan Jalan Dato’ Ismail Hashim bagi menjamin keselamatan orang awam.
Justeru, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Sungai Ara 1, Jalan Persiaran Relau atau Jalan Kedidi.
“Pihak IWK sedang giat menjalankan pemeriksaan ke atas semua rangkaian paip di seluruh negeri bagi memastikan ia selamat digunakan.
“Setakat ini, pemeriksaan tanah serta pemantauan berterusan sedang dijalankan bagi memastikan kawasan sekitar lubang benam berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada rekahan atau pergerakan tanah lanjut.
“Malah, tiada pengumpulan air atau pergerakan permukaan dikesan di lokasi kejadian, namun kita tidak menolak sebarang kemungkinan jika masih terdapat aliran air di bawah tanah akibat kebocoran paip.
“(Dan) kita juga tidak mahu sekadar menimbus kawasan tersebut kerana sekiranya masih berlaku pergerakan air atau tanah di bawah, lubang benam boleh berlaku lagi,” katanya.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Zairil turut menafikan dakwaan bahawa kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang kerana kawasan terbabit tidak termasuk dalam jajaran.
“Hal ini tidak ada kena-mengena dengan projek LRT, permasalahan ini telah wujud sejak beberapa tahun lalu dan berpunca daripada paip lama yang telah usang serta perlu diganti baharu.
“Namun, kerja penggantian memerlukan masa dan melibatkan kos yang sangat tinggi,” jelasnya
Zairil berkata, pihak berkuasa menyasarkan pembukaan semula Jalan Kenari pada 10 November 2025, tertakluk kepada sebarang perubahan berdasarkan keadaan di tapak.
“Namun begitu, aspek keselamatan awam tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NUR ATIKAH RAHMAT