Kecualikan GST untuk projek manfaat rakyat

KEBUN BUNGAH – Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) yang langsung tidak diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada 21 Mei lepas menggamit tanda tanya, sama ada skim bantuan baik pulih rumah pangsa rakyat terpilih itu masih diteruskan pada masa depan atau sebaliknya.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, penjelasan itu penting untuk Kerajaan Negeri memandangkan hanya 26 daripada keseluruhan 144 permohonan TP1M baru diluluskan oleh Kerajaan Pusat sejak tahun 2012.

“Kerajaan Persekutuan perlu memberi jawapan yang jelas kerana ini akan memberi kesan yang besar kepada mereka yang mendiami unit perumahan kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan, selepas menyertai Majlis Pelancaran Projek Mengecat Dua Blok Flat Padang Tembak di sini baru-baru ini.

ADUN Kebun Bungah, Cheah Kah Peng, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chris Lee Chun Kit turut sertai majlis tersebut.

Menurut Jagdeep, RMK-11 yang langsung tidak menyebut mengenai TP1M sekaligus memberi gambaran seolah-olah projek kebajikan yang dijanjikan oleh Kerajaan Pusat itu telah dihentikan.

Jika sedemikian, tambah beliau, proses kelulusan baki 118 permohonan TP1M yang ‘dilengahkan’ oleh Kerajaan Pusat sendiri seolah-olah mengakibatkan penduduk rumah pangsa berwajib menjadi mangsa pentadbiran Putrajaya.

Ditambah dengan penyusutan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) kebelakangan ini, tegasnya, kelewatan Kerajaan Pusat mengakibatkan peruntukan berwajib bertambah menjadi kira-kira RM28 juta, untuk melaksanakan kesemua baki  permohonan TP1M di negeri ini.

Sebelum itu, Zairil menasihatkan pentadbiran Najib supaya mengecualikan pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) ke atas projek TP1M, yang jelas tidak berorientasikan keuntungan perniagaan.

Beliau memberitahu, kos mengecat kedua-dua blok rumah pangsa tersebut adalah RM216,240 dan kira-kira RM24,480 terpaksa dibayar atas nama GST.

Justeru, Zairil mempersoal rasional penguatkuasaan GST yang kononnya demi kebaikan rakyat, tetapi dikenakan ke atas projek-projek TP1M yang jelas menyumbang pada manfaat rakyat.

“Kita (kerajaan) sedang melakukan projek untuk rakyat, tetapi belum apa-apa terpaksa membayar GST (kepada Kerajaan Pusat),” ujarnya sambil menyokong langkah Jagdeep menulis surat rasmi menuntut jawapan berwajib daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Kerajaan Persekutuan di negeri ini.

TP1M diperkenalkan pada Januari 2010 dengan Kerajaan Pusat menyediakan 90 peratus peruntukan penyelenggaraan KR atau 70 peratus KSR, manakala baki ditanggung oleh badan pengurusan projek (JMB) atau persatuan penduduk.

Lanjutan itu, pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan pelaksanaan HAPPY! atau Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang, demi membiayai baki kos yang sepatutnya ditanggung oleh JMB atau persatuan penduduk.

Pun begitu, sebanyak 188 permohonan TP1M berbaki tidak dapat dilaksanakan disebabkan tiada kelulusan berwajib daripada Kerajaan Pusat, sehinggalah Jagdeep membangkitkan isu RMK-11 tidak menyebut mengenai projek kebajikan berkaitan baru-baru ini.