Serambi PI: Ucapan semasa perbahasan Usul Rancangan Malaysia Ke-11 pada 8 Jun 2015 (Bahagian 1)

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute

TERIMA kasih atas peluang untuk membahaskan usul Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), iaitu rancangan pembangunan yang dirangka untuk membawa negara kita ke ambang tahun 2020 dan lebih dekat lagi kepada matlamat negara maju dan berpendapatan tinggi.

Setelah mengamati dokumen RMK11, saya mendapati bahawa seperti biasa, rancangan Kerajaan tampaknya lebih indah khabar daripada rupa – penuh dengan perangkaan selektif yang memberi gambaran ekonomi sihat, serta janjijanji manis yang sebenarnya meragukan dari segi pelaksanaan.

Pendidikan bertaraf dunia?

Tuan yang dipertua,

Saya ingin bermula dengan isu pendidikan dan pembangunan modal insan. Sepertimana yang diperakui oleh Kerajaan, cabaran ekonomi abad ke-21 memerlukan ketersediaan modal insan dinamik dan pekerja berpengetahuan agar negara kita dapat mencapai produktiviti buruh yang optimal serta menarik pelaburan dalam sektorsektor berpendapatan tinggi.

Dalam pada itu, saya tertarik dengan kenyataan Menteri Pendidikan II tempoh hari di Dewan yang mulia ini, di mana beliau mengatakan bahawa sekiranya universiti tempatan terus berusaha seperti sediakala, maka dalam beberapa dekad yang akan datang kita boleh menandingi universiti terkemuka dunia seperti Oxford, Harvard dan Cambridge.

Menteri berasaskan ramalannya atas prestasi universiti penyelidikan kita seperti UM, UKM, USM, UPM dan UTM dalam QS Rankings terkini yang menampakkan sedikit peningkatan. Pada masa yang sama, beliau juga menguaruarkan kononnya kita sudah mengatasi Singapura dari segi penerbitan jurnal saintifik dan petikan atau citation. Pada tahun 2013, universiti Malaysia telah mengeluarkan 23,190 artikel, lantas melebihi negara Singapura yang dijadikan sebagai benchmark atau penanda aras.

Pertama sekali, memang terdapat banyak metodologi rankings keluaran pelbagai badan antarabangsa, sebagai contoh QS World University Rankings yang dipetik Menteri, Times Higher Education World University Rankings, Best Global Universities Ranking oleh Thomson Reuters, Center for World University Rankings dan lain-lain lagi. Rata-rata, universiti yang benarbenar terkemuka dan bertaraf antarabangsa akan mendapat pengiktirafan daripada kebanyakan jika tidak kesemua rankings tersebut.

Walaupun Universiti Malaya (UM) berjaya menduduki tangga ke-151 dalam QS World University Rankings, namun dalam rankingranking lain tidak terserlah. Bagi Center for World University Rankings, UM hanya mendapat tangga ke-492, manakala Best Global Universities Rankings meletakkan UM di tangga ke-423. Bagi Times Higher Education pula, universiti tempatan kita enggan mengambil bahagian.

Pada hemat saya, sekiranya kita tidak mampu atau tidak sanggup bersaing dengan universiti antarabangsa yang lain, usahlah kita mengangkat bakul sendiri dengan memilih secara selektif. Cara yang lebih baik adalah untuk mengakui kelemahan kita dan memperbaikinya.

Dari segi penerbitan artikel akademik dan petikan pula, Menteri menghebohkan bahawa universiti kita sudah berjaya mengatasi Singapura dalam jumlah penerbitan. Saya tidak terkejut dengan pencapaian ini, malah saya hairan mengapa hanya baru-baru ini kita dikatakan dapat mengatasi Singapura. Ini kerana menurut Daftar Kelayakan Malaysia, kita mempunyai 20 buah IPTA dan 43 buah IPTS. Jumlah universiti di negara kita adalah 63, manakala Singapura mempunyai hanya enam buah IPTA dan 26 buah IPTS, iaitu sejumlah 32. Ini bermaksud bilangan universiti kita adalah dua kali ganda Singapura. Justeru, kita bukan sekadar sepatutnya sudah lama mengatasi Singapura, tetapi juga patut melebihi universiti mereka dengan sekurang-kurangnya dua kali ganda jumlah penerbitan.

Pada masa yang sama, bilangan penerbitan hanyalah satu indikator dan kuantiti tidak semestinya bermaksud kualiti. Mungkin banyak kajian yang dibuat di universiti tempatan kita, tetapi adakah kajian itu bermaslahat atau menyumbang kepada epistemologi ilmu? Berapakah jumlah artikel saintifik yang mendapat penarafan dalam Thomson ISI Index, atau yang mempunyai impact factor tinggi?

Sebagai contoh, Nanyang Technological University (NTU) di Singapura telah berjaya meraih tempat pertama di Asia dari segi kualiti dan impak penyelidikan. Ini merupakan pencapaian yang sangat signifikan, memandangkan NTU hanya berusia 23 tahun dan kini sudah berjaya menandingi universiti-universiti hebat dari Hong Kong, Korea dan Jepun.

Di Malaysia pula, kita mendengar mengenai kejayaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan “kit halau makhluk halus” sebagai rawatan untuk menangani masalah histeria yang sering berlaku khususnya dalam kalangan pelajarpelajar perempuan.

Menurut laporan akhbar, antara hasil daripada kajian untuk membangunkan produk ini adalah kejayaan dalam menghubungi dan mengenalpastikan makhluk halus serta kelemahan “mereka.” Sungguh menakjubkan!

Sekiranya benar dakwaan penyelidik UMP ini, maka kita harus segera mencalonkan mereka untuk Hadiah Nobel dalam Fizik. Ini kerana mereka telah berjaya melakukan sesuatu yang sudah lama dikejar oleh para saintis di seluruh dunia, yakni membuktikan kewujudan kehidupan dimensi lain, malah berinteraksi dengannya.

Namun, jika dakwaan mereka tidak benar, maka, demi menjaga nama baik agama Islam serta reputasi sistem pendidikan negara kita, saya mohon agar pihak pentadbir universiti menilai dan menyusun semula keutamaan mereka.

Pada kala institusi pengajian negara kita masih bergelut dengan cabaran asas seperti sekolah yang tidak berdinding dan tidak mempunyai bekalan air bersih atau elektrik yang tekal, serta kelemahan tenaga pengajar dan prestasi pendidikan yang makin corot, nampaknya kaum intelektual kita lebih gemar menyalurkan geran penyelidikan dan pra-pengkormersilan kepada usaha “menghalau hantu.” Ini isu keutamaan!

Saya ingin berbalik kepada penggunaan Oxford University sebagai penanda aras taraf yang ingin dikecapi. Saya menyokong usaha ini, namun saya tertanya sama ada Kerajaan benar-benar memahami apakah yang menjadikan sebuah universiti itu bertaraf dunia.

Saya sendiri pernah dijemput ke Oxford University untuk berucap kepada pelajar-pelajarnya. Di samping itu, saya juga pernah berucap di Edinburgh University dan National University of Singapore – semua universiti yang tidak dinafikan taraf dunianya. Dalam pengalaman saya, program bersama mahasiswa di universiti tersebut sangat berilmiah dan memberangsangkan. Tidak pula ada masalah saya hadir di sana.

Namun, pada bulan lepas, saya telah dijemput ke forum anjuran mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) di kampus Gombak. Semasa dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang, saya menerima panggilan daripada pengelola program tersebut, dan beliau memberitahu bahawa pentadbiran universiti telah membatalkan program kami. Memandangkan saya sudah dalam perjalanan, saya cadangkan agar teruskan sahaja program tersebut, cuma mungkin secara informal.

Maka pada petang itu, lebih kurang 80 hingga 100 mahasiswa dan mahasiswi UIA telah berkumpul di kafeteria universiti. Kehadiran pelajar masih ramai walaupun kami terpaksa menukar program kepada “perbincangan” di kafeteria akibat tidak mendapat kelulusan menggunakan dewan. Pun begitu, tidak sampai lima minit perbincangan kami, datanglah pegawai-pegawai sekuriti untuk menghentikan program, seolah-olah orang tidak boleh duduk dan berbincang dalam kafeteria universiti.

Akhirnya, kami berjaya teruskan juga perbincangan secara informal, dan saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pengelola program tersebut serta semua pelajar yang berani hadir walaupun menghadapi kekangan pentadbiran. Beberapa hari kemudian, berita melaporkan bahawa sebuah program debat anjuran Suruhanjaya Tinggi United Kingdom dan University of Nottingham yang sepatutnya bertempat di UIA juga telah mengalami nasib yang sama. Ia dibatalkan pada saat terakhir kononnya atas kehadiran seorang ahli politik pembangkang, walaupun terdapat juga wakil Kerajaan, iaitu seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Oleh itu, walaupun saya menyokong hasrat Kerajaan untuk menjadikan universiti kita bertaraf antarabangsa, saya ingin menyatakan bahawa tanpa kebebasan akademik, kita tidak akan menghasilkan graduan yang berupaya untuk berfikir dan mempersoal – dua sifat pemacu ilmu. Tiada gunanya jika universiti mempunyai prasarana fizikal yang hebat, tetapi tidak mempunyai ruang kebebasan untuk memberangsangkan minda. Selagi Kerajaan tidak membenarkan kebebasan akademik, sehingga itulah universiti kita tidak akan maju dan berdaya saing di peringkat dunia.