Keistimewaan adik Fajar tarikan Karnival Usahawan Tahfiz Se-Malaysia

BERTAM – Hampir 300 kanakkanak berjaya dihimpunkan dalam Majlis Forum Bicara Bersama Hafiz Cilik Indonesia iaitu adik Fajar Abdulrokhim baru-baru ini sekaligus menyerlah tanda sokongan pada penganjuran Karnival Usahawan Tahfiz Se-Malaysia bagi Zon Utara di Dewan Millenium di sini.

Program julung kali dianjurkan Yayasan Mawar Pulau Pinang dan Koperasi Permata Al-Quran Malaysia tersebut turut mendapat kerjasama Pejabat Timbalan Ketua Menteri I. Adik Fajar, 9, disahkan mengidap penyakit cerebral palsy iaitu otak lumpuh sejak lahir.

Ibunya, Heny Sulistiowati Sunardi ketika ditemui berkata, sewaktu hamil, Fajar telah didedahkan dengan bacaan ayatayat suci al-Quran dan mula menghafalnya sejak umur 4 tahun lagi.

“Sewaktu hamil, saya dan suami, Joko Wahyudiono Suwardi selalu mengamalkan sekurang-kurang satu juzuk al-Quran setiap hari, malah tidak memperdengarkan perkara yang tidak baik serta menjaga pemakanan.

“Amalan ini diteruskan sehingga sekarang dan secara tidak langsung membantu anak kami (Fajar) mempelajari al-Quran dan dapat menghafaz al-Quran sejak usianya mencecah 3 tahun.

“Saya bersyukur dengan kebolehannya ini yang dapat membantu beliau menjadi hafiz dan juga imam besar Masjidil Haram termakbul sebagaimana diimpikan beliau,” katanya ketika sesi berkongsi pengalaman pada penganjuran Karnival Usahawan Tahfiz SeMalaysia bagi Zon Utara di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Pengerusi Yayasan Mawar Pulau Pinang, Dr. Abdul Hadi Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Yayasan Mawar Pulau Pinang, Ahmad Fahmi A. Bakar.

Penganjuran karnival yang bertujuan memartabatkan sekolah tahfiz tersebut pada masa sama memberi peluang kepada individuindividu berkaitan untuk menceburi bidang keusahawanan.

Dalam pada itu, Pakar Bahagian Kanak-kanak Hospital KPJ, Dr. Zaidi Zakaria ketika mengulas mengenai pesakit cerebral palsy atau otak lumpuh menyatakan, kajian mendapati bahawa sebanyak 60 peratus kes adalah melibatkan masalah pembelajaran dan 40 peratus (menunjukkan tiada masalah).

Cerebral palsy yang merupakan ‘kerosakan’ kekal akan mempengaruhi tiga aspek kerosakan iaitu dari segi pergerakkan, keseimbangan badan dan kedudukan yang mana pesakit akan mengalami kesukaran untuk bercakap, berjalan, keseimbangan badan serta lain-lain.

“Mereka ini boleh hidup secara normal sehingga ajalnya dan penyakit ini juga tiada perkembangan positif sehingga ke hari ini,” jelas beliau.