Keluarga B40 terpilih KADUN Seri Delima terima bantuan barangan keperluan asas

SERI DELIMA – Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima dengan kerjasama organisasi amal Pertubuhan Kebajikan LIFE Pulau Pinang (PKLPP) baru-baru ini menggerakkan Projek H.E.L.P., iaitu projek bantuan barangan keperluan asas kepada golongan B40 terpilih di KADUN Seri Delima.

 

Projek yang diusahakan bersama dengan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan ini telah memanfaatkan ramai keluarga daripada golongan paling terkesan akibat pandemik.

 

Ketika ditemui, ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid memaklumkan bahawa pihaknya bersama-sama PKLPP telah mengagihkan 280 hamper berupakan keperluan asas di dua lokasi.

 

“Satu di Taman Kejiranan Greenlane Height dan satu lagi di Taman Kejiranan Karpal Singh dekat sini.

 

“Walaupun memasuki fasa endemik, masih ramai lagi rakyat kita yang terkesan dan melalui projek ini diharapkan dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung,” ujarnya usai menyampaikan bantuan berkaitan di sini pada 10 September 2022.

 

Hadir sama, Pengerusi PKLPP, SK Goh dan Setiausaha PKLPP, Teh Jay Line.

 

Pada majlis sama, Syerleena turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat yang membantu dalam menjayakan projek tersebut.

 

Sementara itu, Jay Line yang ditemui kemudiannya memberitahu bahawa Projek H.E.L.P atau terbitannya Help, Encourage, Love, People merupakan projek yang dikelolakan oleh sekumpulan belia.

 

“Projek ini bertujuan meraih kesedaran dan mengumpul dana untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan.

 

“Sebelum ini, projek sama juga diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis dan Flat Jalan Kedah (KADUN Padang Kota)

 

 “Selain itu, PKLPP juga mengadakan bengkel celik kewangan dan program-program berteraskan kemasyarakatan melibatkan golongan belia dan kanak-kanak,” katanya,

 

Difahamkan, melalui Projek H.E.L.P ini, keluarga terpilih menerima barangan keperluan asas dan runcit yang cukup untuk sebulan.

 

 

 

 

Text & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI