SUNGAI BAKAP – Nasib sebuah keluarga yang sebelum ini tinggal di rumah daif akhirnya terbela hasil inisiatif kebajikan Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang.
Exco Pembangunan, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata JKM Pulau Pinang sebelum ini menerima maklumat mengenai satu keluarga di sebuah kampung dekat Padang Lalang, Simpang Ampat, di sini yang hidup dalam suasana menyayat hati dan serba kekurangan.
Beliau berkata, hasil daripada lawatan bersama dengan pihak JKM pada tahun lepas mendapati keluarga tersebut tinggal di sebuah rumah usang, dengan keadaan bumbung yang bocor serta dipenuhi sampah-sarap.




“Kita mendapat maklumat daripada pihak Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini mengenai nasib yang menimpa keluarga ini.
“Oleh itu, saya bersama-sama pihak JKM telah mengadakan lawatan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh keluarga ini yang terdiri daripada seorang ibu tunggal dan empat orang anak.
“Apa yang kami temui amat menyentuh perasaan yang mana sebuah rumah yang terlalu daif, kotor dan tidak terurus, hampir runtuh dengan bumbung bocor di hampir keseluruhannya.
“Di situlah sebuah keluarga bernaung, dalam keadaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui sempena Jelajah Manfaat Rakyat JKM Seberang Perai Selatan (SPS) sempena Tahun Baru Cina semalam.
Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Penyelaras KADUN Sungai Bakap, Abd Rahim Ahmad; Pengarah JKM Pulau Pinang, Rozita Ibrahim serta pegawai-pegawai JKM Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Siew Khim menjelaskan bahawa tragedi menimpa keluarga terbabit bermula apabila ketua isi rumah mereka meninggal dunia akibat menderita penyakit kanser pada tahun 2019.
Menurutnya, kehilangan figura seorang ayah bukan sahaja meragut tonggak keluarga, malah meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada empat orang anak perempuan mereka.
“Selain hilang punca pendapatan, mereka juga berdepan masalah kemurungan dan terasing daripada masyarakat, malah, dua orang daripada empat anak mereka tercicir daripada alam persekolahan.
“Lebih memilukan, anak sulung keluarga ini yang memiliki kelayakan pendidikan sehingga peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) masih tidak bekerja akibat masalah kemurungan yang dihadapi,” jelasnya.


Siew Khim berkata, sejak itu penama Norma Mat, 55 tahun terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan dengan anggaran pendapatan bulanan sebanyak RM720 bagi menyara empat orang anaknya.
Susulan itu, beliau berkata JKM Pulau Pinang bersetuju menyalurkan bantuan segera sebanyak RM500 melalui Tabung Bantuan Segera negeri Pulau Pinang.
“Selai itu, keluarga ini turut disyorkan menerima Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) sebanyak RM890 sebulan di samping pihak Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) memperuntukkan sejumlah RM30,000 bagi membaik putih rumah.
“Malah, ADUN Sungai Acheh, Dato’ Rashidi Zinol juga bermurah hati menyumbangkan bantuan berjumlah RM10,000 bagi memyempurnakan projek pembaikan rumah ini.
“Bukan itu sahaja, pihak JKM negeri juga telah mengambil langkah segera dengan menghantar kaunselor bagi membantu memulihkan kesejahteraan emosi keluarga ini,” katanya.
Siew Khim berkata, hasil daripada kerjasama semua pihak, penama dan anak sulungnya kini telah mendapat pekerjaan yang lebih baik.
“Inilah realiti isu sosial yang kita sedang tangani, yang mana saya percaya masih banyak keluarga di luar sana turut berdepan kesukaran sama tetapi masih belum dikenal pasti.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk membantu, bukan sahaja melalui sokongan kewangan tetapi juga melalui kaunseling, pendidikan, bantuan keperluan harian dan sokongan menyeluruh bagi memulihkan maruah serta harapan hidup golongan memerlukan ini.
“Jadi, Kerajaan Negeri menyeru kepada masyarakat, khususnya MPKK agar lebih peka dan prihatin terhadap keperluan komuniti setempat.
“Jangan biarkan mereka yang sedang diuji ini berjuang sendirian, sebaliknya kita perlu menghulurkan tangan kerana sedikit keprihatinan mampu mengubah seluruh kehidupan sebuah keluarga,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS