Kelulusan APDL, apa punca kelewatan, soal Exco kepada KPKT

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menyatakan kekecewaannya apabila kelulusan Permit Pengiklanan dan Lesen Pemaju (Advertising Permit and Developer’s License, APDL) sengaja dilengah-lengahkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Sambil menyifatkan tindakan tersebut seperti mensabotaj ekonomi negeri, Jagdeep mendedahkan bahawa kira-kira 140 atau lebih industri yang terlibat secara langsung atau tidak dengan sektor pembangunan hartanah akan terjejas akibat kelewatan meluluskan APDL.

“Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek-projek perumahan mampu milik di Pulau Pinang ini mencecah berbilion ringgit dan jumlah industri yang terjejas ini dikeluarkan oleh REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia), bukan rekaan.

“Sebarang kelewatan atau penafian permohonan APDL ini secara langsung bermaksud penafian pemajuan projek-projek perumahan untuk rakyat di Pulau Pinang,” katanya dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Jelas Jagdeep, Menteri KPKT, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam Jawapan Lisan kepada Ahli Parlimen Bagan yang juga merupakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada 6 April lalu antara lain mendedahkan sebanyak 48 permohonan APDL untuk Pulau Pinang dalam tempoh bulan Ogos 2014 hingga April 2015 masih tertangguh.

“Terkini, sebanyak 81 permohonan masih belum diluluskan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Jagdeep berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Abdul Rahman bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan dengan kelulusan APDL dari Pulau Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri) ingin tahu apakah punca kelewatan, kerana semua permohonan APDL ini tidak ditolak mahupun dijawab oleh KPKT,” katanya.

Terdahulu, ketika hadir merasmikan Pameran Projek Perumahan Mampu Milik oleh pemaju, PLB Land Sdn. Bhd. di
pusat membeli-belah Queensbay Mall, Jagdeep memberitahu bahawa pihaknya kini sedang menghampiri persetujuan pembangunan projek perumahan mampu milik dengan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

“PR1MA hanya perlu menghantar pelan pembangunan dan bersetuju mengikut segala peraturan dan undang-undang tempatan yang telah ditetapkan.

“Pastinya, kita (Kerajaan Negeri) menunggu perkembangan positif selepas perjumpaan dengan pihak PR1MA baru-baru ini,” ujar beliau.

PR1MA telah mencadangkan untuk membangunkan 12,000 unit rumah mampu milik di beberapa kawasan di Pulau Pinang termasuk di Gelugor, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.