Kempen Hentikan Keganasan Siber, cegah umum jadi mangsa buli siber

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Sehingga Mei lalu dalam tempoh tahun 2010 hingga 2016, menyaksikan sebanyak 343 kes rogol berpunca daripada perhubungan atas talian internet direkodkan oleh Bahagian D11 Siasatan Seksual Kanak-Kanak Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Menyedari hakikat itu, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, jelajah Penang Goes Orange 2016 mengangkat tema kempen, Hentikan Keganasan Siber.

“Lebih separuh daripada mangsamangsa keganasan siber yang terlibat adalah berusia 15 tahun dan ke bawah, termasuk sembilan mangsa kanak-kanak antara umur 10 tahun dan 12 tahun.

“Dalam tempoh Januari hingga September 2015 sahaja, hampir 130 kes rogol membabitkan perhubungan (atas talian) internet telah dilaporkan, yang mana kebanyakan mangsa adalah pelajar sekolah muda.

Cyber groomer bukan sahaja mensasarkan wanita, malah remaja dan kanak-kanak juga.

“Diharapkan, kempen Hentikan Keganasan Siber yang dilancarkan Kerajaan Negeri dapat mencegah semua pihak daripada menjadi mangsa kepada penghendap (stalkers), pendera, pembuli yang bermaharajalela dalam alam siber.

“Pembuli siber ini melakukan cyber sex dan kemudiannya memeras mangsa melalui Kik, Messenger, ooVoo, Omegle, Facebook dan sebagainya,” katanya pada Majlis Perasmian Penang Goes Orange 2016: Hentikan Keganasan Siber di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin, Yap Soo Huey (ADUN Pulau Tikus), Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang), Cheah Kah Peng (ADUN Kebun Bunga) dan Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubok).

Nama kempen Penang Goes Orange adalah diilhamkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengisytiharkan warna jingga sebagai warna untuk memperingati usaha penting berkaitan. Mengulas lanjut, Chong Eng memberitahu, 2014 merupakan tahun pertama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) menganjurkan jelajah Penang Goes Orange peringkat negeri, dengan tema kempen Anti Keganasan Terhadap Wanita.

“Sebanyak 38,314 kes keganasan rumah tangga, 29,698 kes rogol, 19,159 kes mencabul kehormatan, 3,272 kes sumbang mahram dan 401 kes gangguan seksual di tempat kerja direkodkan di tanah air ini dalam tempoh tahun 2006 hingga 2015.

“Dalam tempoh setahun mulai 2014, direkodkan hal keganasan rumah tangga bertambah sebanyak 207 kes,’’ jelas beliau.