Kempen makan hasil tempatan diperluas, bantu petani raih harga lebih berbaloi

Admin
fde42068 17e6 4ec2 bc5c 69c2a44dec57 KETUA Menteri dan isteri, Tan Lean Kee turut meluangkan masa memasak hidangan ringkas berasaskan sayur-sayuran tempayan sempena Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan di Komtar pada 21 Mei 2026.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan perluaskan penganjuran Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan ke semua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini menerusi pelaksanaan serentak bersama Program Jualan Rahmah bagi membantu petani tempatan menangani lambakan hasil pertanian serta memperoleh pulangan yang lebih berbaloi.

06d522c5 744f 4dac 8c43 daa9ca99b26a
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, inisiatif yang dilancarkan di Komtar tengah hari tadi itu diharap dapat membantu para petani tempatan, khususnya 92 pengusaha yang mengusahakan tanah seluas 600 ekar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda.

Menurut beliau, langkah tersebut turut menyokong usaha memastikan kestabilan rantaian bekalan makanan dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

“Saya menyambut baik usaha Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan bersama agensi berkaitan dalam sektor pertanian, perikanan dan agroteknologi untuk memperkukuh keterjaminan makanan serta membantu menangani kos sara hidup.

“Kita mahu memastikan dalam keadaan ekonomi yang mencabar, semua pihak mendapat jaminan pendapatan, di samping memastikan bekalan kekal mencukupi supaya rantaian bekalan yang seimbang dapat diwujudkan serta memberi manfaat kepada pengusaha, penternak dan pengguna,” katanya kepada pemberita di Komtar di sini hari ini.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian selepas melancarkan kempen tersebut.

Hadir sama, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol; Pengarah Pertanian Negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Nurulhuda.

Pelancaran kempen tersebut turut diserikan dengan kehadiran isteri Ketua Menteri, YABhg. Puan Tan Lean Kee yang berkongsi sajian hasil air tangan beliau.

0774d575 6f23 4882 9acd e026a8271d43
RASHIDI Zinol

Terdahulu, Rashidi berkata bahawa pejabatnya melalui FAMA akan mempergiat usaha membantu petani tempatan memasarkan lambakan hasil menerusi penyertaan dalam Program Jualan Rahmah yang dianjurkan dua kali sebulan di semua KADUN.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata, FAMA negeri turut akan membantu memasarkan lambakan hasil pertanian Pulau Pinang ke Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selain memenuhi permintaan pasaran tempatan.

“Kita mahu memastikan harga ladang bagi hasil tempatan tidak terlalu rendah berbanding harga runcit semasa yang jauh lebih tinggi.

“Kita berharap petani memperoleh pulangan dan harga yang setimpal dengan usaha mereka.

“Inilah antara usaha untuk membantu petani berdepan kos input yang tinggi serta membolehkan mereka menikmati pulangan yang lebih baik,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada FAMA negeri.

Buletin Mutiara dimaklumkan bahawa TKPM Ara Kuda sahaja menghasilkan kira-kira tiga tan metrik hasil pertanian setiap hari.

Dalam perkembangan lain, Choon Aik memberi jaminan bahawa bekalan 27 jenis barangan keperluan terkawal di negeri ini mencukupi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Sebanyak 27 jenis barangan keperluan terkawal masih mencukupi dan harganya berada di bawah paras harga kawalan,” katanya yang juga ADUN Bukit Tambun.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN