Kempen ‘Promosi Belanja dan Bercuti’ di Caltex tawar hadiah lumayan, sasar tarik lebih 50,000 pelancong ke Pulau Pinang – Exco

SEBERANG JAYA – Kempen ‘Promosi Belanja dan Bercuti’ yang dianjurkan oleh Pen Petroleum Sdn. Bhd. (PenPec) dan Association of Tourism Attractions, Penang (ATAP) dijangka menarik lebih 50,000 pelancong ke Pulau Pinang.

Selain menawarkan pelbagai ganjaran kepada pelanggan yang berbelanja di stesen minyak Caltex terpilih seluruh negara, kempen ini turut menawarkan baucar tunai serta tiket masuk percuma ke tempat-tempat menarik di Pulau Pinang.

Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin berkata, kempen tersebut akan memberi manfaat terhadap sektor pelancongan negeri ini.

Yeoh Soon Hin menyampaikan baucar kepada pelanggan bertuah di stesen minyak Caltex Permatang Pauh.

“Sebanyak 100,000 baucar dan tiket masuk percuma ditawarkan kepada pelanggan Caltex di seluruh Semenanjung yang berbelanja lebih RM50 di 60 Kedai Xpress Point terpilih.

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri) mensasarkan kemasukan lebih 50,000 pelancong ke Pulau Pinang melalui promosi yang dilancarkan di seluruh negara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kempen berkaitan di stesen Caltex Permatang Pauh, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan PenPec, Saw Chang Heng; Pengarah (Kumpulan PenPec), Datuk Abdul Rahim Darus; Pengurus Besar (Kumpulan PenPec), Saw Siam Chin; Pengurus Jualan Wilayah Utara Chevron Malaysia Limited, Faizah Abdul Samad; Pengerusi ATAP, Ch’ng Huck Theng dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Soon Hin berkata, lebih banyak promosi akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan dalam mempromosikan tempat-tempat menarik di Pulau Pinang.

“Justeru, saya berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan lagi dengan melibatkan pihak-pihak lain dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan unggul di wilayah utara Semenanjung,” ujarnya.

Difahamkan, kempen yang berlangsung mulai 1 Januari sehingga 28 Februari 2019 menawarkan satu tiket masuk percuma ke The Habitat, Tropical Spice Garden, Penang Trick Art Museum, Entopia (Taman Rama-rama Pulau Pinang), Tropical Fruit Farm, Magination, Teddyville Museum dan baucar tunai RM5 bagi pembelian di kedai biskut tertua di Pulau Pinang, Ghee Hiang.

Menariknya, pelanggan Caltex turut berpeluang memenangi baucar bernilai RM250 setiap satu dan 15 hadiah misteri melalui peraduan dalam talian ‘Kira & Menang’.

Maklumat lanjut, layari www.xpresspoint.com.my. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS