Kepelbagaian jadikan Pulau Pinang istimewa

Admin

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PADANG KOTA – Festival Vasakhi Peringkat Negeri Pulau Pinang di Fort Cornwallis baru-baru ini menerima kehadiran hampir 3,000 hadirin.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, Pulau Pinang dilihat begitu istimewa kerana rakyatnya yang majmuk meraikan kepelbagaian dengan semangat kesederhanaan dan muhibah.

“Sebab itulah George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO kerana nilai penduduk di sini bukan setakat damai serta harmoni, malah kita saling bertoleransi dan begitu menghormati nilai perbezaan antara kita.

“Nilai kepelbagaian ini menjadikansumbu kejayaan Pulau Pinang,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada komuniti Sikh di negeri ini berhubung penganjuran berkaitan.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal serta barisan pemimpin komuniti Sikh turut sertai keraian tersebut.

Menurut Guan Eng, mendiang Karpal Singh adalah bagaikan ‘tiang seri Malaysia’ dalam menyuburkan semangat
demokrasi berperlembagaan di tanah air ini dan sumbangan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu wajar menjadi kebanggaan komuniti Sikh di tanah air ini.

Selain itu, beliau turut menyeru barisan pemimpin semua agama di Pulau Pinang supaya membantu Kerajaan Negeri menyemarak kesederhanaan tulen serta menghakis sentimen perkauman dan fahaman melampau dalam kalangan rakyat yang majmuk.

Nyanyian lagu, pelbagai tarian kebudayaan serta juadah makanan tradisi masyarakat Sikh antara yang menarik sebagai menghargai semua pengunjung ke sini.