SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) disarankan supaya memberikan keutamaan kepada keperluan warga setempat dan pihak industri dalam merangka bajet bagi tahun 2026.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, MBSP perlu menyediakan infrastruktur yang baik dan mencukupi, di samping memastikan perkhidmatan pembersihan yang cemerlang bagi memenuhi keperluan industri dan warga Seberang Perai.
“Dua kategori ini perlu diberi perhatian dan kerana ia merupakan sektor yang paling tinggi perbelanjaannya setiap tahun.
“Jadi gunakanlah sesi libat urus ini dengan sebaik mungkin untuk mencari jalan terbaik bagi memuaskan hati semua pihak waluaupun kita tahu cabaran kita adalah sumber kewangan yang terhad berbanding keperluan dan permintaan yang pelbagai,” katanya semasa berucap dalam Sesi “Town Hall” Dialog Bajet MBSP 2026 Bersama Ahli Majlis dekat sini sebentar tadi.
Turut hadir, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; barisan Ahli Majlis bagi MBSP serta ketua-ketua jabatan MBSP.
Mooi Lye berkata, pada tahun lepas hampir 83 cadangan projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan pada tahun 2025 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM14.6 juta dan peruntukan agensi lain sebanyak RM71.74 juta.
“Saya berharap, sekurang-kurangnya setengah daripada cadangan projek ini telah berjaya dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau berkata, MBSP juga perlu memberikan perhatian dalam memperkukuh tadbir urus dengan meneruskan amalan belanjawan inklusif seperti Bajet Penyertaan Rakyat dan Responsif Gender (GRPB) dan sesi libat.
“Pendigitalan perkhidmatan awam seperti OSC Online, SPEED (Seberang Perai Express and Effective Development) dan pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Pintar Pulau Pinang juga perlu diteruskan.
“Selain itu, saya berharap kita dapat menyambut baik saranan Perdana Menteri dalam menangani kerenah birokrasi dengan memberi tumpuan kepada inovasi dalam perkhidmatan.
“Semua perkara ini perlu kita masukkan dalam perancangan Bajet tahun 2026.
“Saya berharap, Ahli Majlis dapat memberikan cadangan projek yang memberi impak yang besar kepada masyarakat dan Kerajaan Negeri.
“Mungkin kita boleh mengutamakan kualiti berbanding kuantiti supaya peruntukan kita dapat dibelanjakan secara berhemah dan produktif,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Dalam pada itu, Baderul Amin memberitahu bahawa MBSP berjaya mengumpul sebanyak 3,189 maklum balas hasil daripada proses libat urus yang diadakan bermula awal tahun ini.
“Input daripada Ahli Majlis telah dikumpulkan sepanjang tempoh 1 Februari hingga 28 Mac 2025, manakala soal selidik awam yang dilaksanakan kepada pemegang taruh utama pada bulan Februari berjaya mengumpulkan sebanyak 3,189 maklum balas.
“Ini merupakan bukti bahawa rakyat dan pemimpin komuniti bersedia untuk memberikan idea serta pandangan dalam memastikan pembangunan bandaraya ini lebih menyeluruh dan seimbang.
“Segala dapatan ini akan disaring, dianalisis dan dimasukkan ke dalam kerangka Perancangan Bajet dan Corporate Priorities MBSP 2026.
“Saya berharap agar Bajet MBSP 2026 yang bakal dibentuk nanti bukan sahaja mampu menangani cabaran semasa, tetapi juga mampu melonjakkan taraf kesejahteraan rakyat Seberang Perai secara mampan dan berterusan,” jelasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS