Kerajaan Bersih fokus selesai masalah rakyat – B.J. Habibie

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Bekas Presiden Indonesia, Bachaduddin Jusof Habibie ( B.J. Habibie) berkata, usaha menyelesaikan masalah rakyat menjadi keutamaan pentadbirannya sungguhpun menerima pelbagai cabaran daripada orde lama tinggalan bekas presidennya, Muhammad Soeharto.

Malah katanya, beliau sama sekali tidak berminat untuk bermain politik semasa dipilih menjadi Presiden Indonesia memandangkan adalah seorang profesor dalam bidang teknologi ruang angkasa.

“Saya tidak kisah. Saya mempunyai prinsip. Saya tidak akan sama sekali menjadi penghukum…saya memang merancang untuk menjadi seorang prefesor dan cuba mengeluarkan kehidupan rakyat yang susah kepada hidup yang lebih selesa,” ujar beliau dalam Forum Pakatan ASEAN Untuk Tadbir Urus Bersih anjuran Penang Institute di sini baru-baru ini.

Itu respons beliau dalam sesi soal jawab dalam forum kendalian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penang Institute, Zairil Khir Johari.

Beliau berkata, beliau percaya bahawa ketamadunan manusia bukanlah milik eksklusif mana-mana bangsa.

Atas maksud itu, beliau berkata, dasar ala-ala disentralisasi diperkenalkan di Indonesia dengan memberi kuasa yang lebih kepada Kerajaan Provinsi serta pihak berkuasa tempatan (Kota) dari segi pentadbiran dan mengurus ekonomi.

Tidak cukup dengan itu, katanya lagi, langkah memulakan referandum rakyat turut dilakukan di Timur Leste semasa era pentadbirannya memandangkan rakyat di kepulauan itu menuntut kemerdekaan daripada Kerajaan Indonesia yang berpusat di Jakarta.
“Banyak pihak memprotes keputusan ini. Ia bukan langkah yang popular. Tapi, (seorang) pemimpin menyelesaikan masalah rakyat, bukannya berpolitik sematamata,” ujar beliau.

Difahamkan, beliau menjadi Presiden Indonesia selama dua tahun bermula sejak 21 Mei 1998, iaitu semasa Indonesia sedang menyaksikan majoriti rakyat menolak kepemimpinan tidak demokratik Soeharto.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut memuji pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dianggap bersih serta komited memerangi rasuah. Beliau berkata, kriteria pentadbiran yang bersih seperti di Pulau Pinang antara lain adalah meningkatkan kualiti hidup serta keselesaan hidup rakyat.

Sebelum pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa menyampaikan ucapan alu-aluan berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak Mac 2008 sedang berusaha melaksanakan urus tadbir berasaskan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Atas semangat itu, beliau berkata, pengalaman B.J. Habibie diperlukan dalam mengangkat agenda tadbir urus kerajaan secara bersih di peringkat ASEAN.

Beliau berkata, melalui Penang Institute, Kerajaan Negeri berusaha menghimpunkan bekas-bekas pemimpin negara ASEAN seperti bekas perdana menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva bagi merealisasikan Pakatan ASEAN dalam tadbir urus kerajaan secara bersih.

“Cita-cita kebenaran, kebebasan dan ketelusan perlu universal memeluk dan bahawa rakyat ASEAN berhak mendapat hak untuk menikmati nilai-nilai yang penting dalam kerajaan yang baik, bersih dan cekap…dalam menyampaikan aspirasi rakyat.

“Pulau Pinang bercita-cita untuk menjadi modal tadbir urus yang bersih di rantau ini, tetapi kita tidak mahu menjadi pemegang tunggal impian ini.

“Kami berharap untuk melihat seberapa banyak ibu negara tadbir urus bersih mungkin di seluruh ASEAN.

“Kehadiran beliau (B.J. Habibie) di sini (Pulau Pinang) adalah menggalakkan kepada semua penyokong tadbir urus yang bersih dan merupakan satu lagi langkah ke hadapan untuk Gabungan ASEAN bagi Urus Tadbir Bersih,” ujar beliau di depan hampir 1,000 hadirin.

B.J. Habibie menyampaikan ucaptama pada Forum Pakatan ASEAN Untuk Tadbir Urus Bersih anjuran Penang Institute baru-baru ini.
B.J. Habibie menyampaikan ucaptama pada Forum Pakatan
ASEAN Untuk Tadbir Urus Bersih anjuran Penang Institute
baru-baru ini.