Penduduk tuntut Bt. Uban digazet perkampungan warisan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


GELUGOR – Penduduk perkampungan Batu Uban mendesak Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim agar memberikan status perkampungan warisan dengan kadar segera kepada kawasan perkampungan tersebut selain daripada masjid yang telah diiktiraf kementerian berkenaan baru-baru ini di sini.

Kebimbangan penduduk sampai ke puncaknya apabila pembangunan yang semakin meningkat dilihat bakal melenyapkan kampung seluas 4.3 ekar dan jemaah yang sering mengimarahkan masjid tertua di situ.

Demikian disuarakan oleh Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti Batu Uban (JKKK) merangkap Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim ketika membuat tuntutan bersama hampir 300 penduduk kampung dan kumpulan bukan kerajaan (NGO) selesai solat Jumaat di hadapan masjid berkenaan baru-baru ini.

Iszuree berkata, jika hanya masjid diwartakan sebagai warisan dan perkampungan dilenyapkan, dari manakah akan datangnya jemaah untuk mengimarahkan masjid yang dibina sejak 1734 pada masa akan datang.

“Anak-anak kariah kami terdiri daripada penduduk kampung rata-ratanya dan sekiranya kampung telah tiada maka masjid akan menjadi lenggang. Ini sudah terbukti terjadi di Masjid Melayu Lebuh Acheh.

“Di sana, kampung Melayu sudah tiada kerana masjid sahaja digazetkan sebagai warisan. Apabila masjid telah tiada, di manakah fungsi masjid kepada masyarakat?, sedangkan masjid adalah institusi perpaduan umat Islam,” ujarnya.

Surat tuntutan melalui Kerajaan Negeri telah dihantar ke kementerian berkenaan, tetapi hingga kini masih tidak memperoleh sebarang jawapan dan tidak diambil perhatian oleh kerajaan persekutuan.

“Kita berharap kepimpinan di bawah Pakatan Rakyat (PR) tidak akan menghentikan usaha bagi membantu penduduk mendapatkan status perkampungan warisan yang dipohon.

“Kita (penduduk kampung) akan terus melakukan solat hajat usai selesai sembahyang Jumaat setiap minggu sehinggalah rayuan dan suara hati penduduk kampung didengari di peringkat pusat,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

ISZUREE Ibrahim menunjukkan keratan akhbar yang memaparkan kesungguhan beliau dan penduduk perkampungan Batu Uban dalam memperjuangkan perolehan status perkampungan warisan di sini baru-baru ini.
ISZUREE Ibrahim menunjukkan keratan
akhbar yang memaparkan kesungguhan beliau
dan penduduk perkampungan Batu Uban
dalam memperjuangkan perolehan status
perkampungan warisan di sini baru-baru ini.