Kerajaan Negeri agih geran bernilai RM215,000 kepada 23 koperasi

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri mengagihkan geran berjumlah RM215,000 kepada 23 pertubuhan koperasi yang berdaftar di Pulau Pinang.

 

 

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan RM450,000 yang diberikan secara tahunan kepada pertubuhan koperasi.

 

 

“Ini adalah pengiktirafan gerakan koperasi sebagai sebuah instrumen yang penting kepada pemerkasaan komuniti khususnya dalam sektor pembangunan ekonomi mikro dan makro.

 

 

“Bantuan Penang 2030 COOP Grant akan meliputi dua kategori iaitu permohonan bagi tujuan infrastruktur atau modal pusingan yang berjumlah RM10,000 maksimum bagi setiap koperasi yang memohon serta dinilai dan diputuskan oleh satu Jawatankuasa Penilai.

 

 

“Penetapan jumlah maksimum ini ditetapkan selaras dengan objektif Bantuan Penang 2030 COOP Grant bagi memberi peluang kepada koperasi yang benar-benar memerlukan untuk memulakan atau memulihkan perniagaan mereka,” ujar Ahmad Zakiyuddin pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Gerakan Koperasi Gerakan Koperasi Negeri Pulau Pinang bertempat di Dewan Wisma Al-Ansar Masjid Al -Muhajirin Seberang Jaya di sini hari ini.

 

 

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pulau Pinang, Norlelah Samsuddin dan dif-dif jemputan yang lain.

 

 

Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco bagi Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti berharap, segala inisiatif yang dilaksanakan ini akan memberikan manfaat kepada Gerakan Koperasi di Pulau Pinang, dalam membangunkan semula perniagaan yang terjejas sebelum ini.

 

“Saya yakin dan percaya gerakan koperasi ini akan terus menjadi tonggak penting bagi memakmurkan ekonomi negara dan memperkukuhkan kesejahteraan rakyat khususnya di negeri Pulau Pinang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

 

Norlelah dalam pada itu memaklumkan 14 daripada 23 penerima hari ini merupakan koperasi sekolah dalam menggalakkan penyertaan koperasi di kalangan generasi muda.

 

 

“Selain itu geran ini disampaikan kepada koperasi-koperasi baharu berusia lima ke enam bulan, kita tengok perjalanan koperasi itu kalau ada inisiatif yang baik kita juga bagi bantuan sebagai galakkan untuk mereka terus aktif.

 

 

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana saya difahamkan cuma di Pulau Pinang sahaja geran tunai seperti ini diberikan,” katanya lagi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD