Kerajaan Negeri belanja RM1,330,000 sebagai insentif kemasukan ke IPT sesi Jun 2019

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM1,330,000 sebagai insentif  Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi sesi kemasukan Jun 2019 baru-baru ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, insentif tersebut sebagai menghargai warga negeri yang banyak menyumbang bakti serta menunjukkan kasih sayang terhadap Pulau Pinang.

“Bantuan ini melibatkan 1,330 pelajar di negeri Pulau Pinang bagi sesi kemasukan pada bulan Jun 2019 dan jumlah bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) adalah seramai 347 orang pelajar yang menelan kos sebanyak RM 270,200.

“Saya berharap bantuan ini dapat membantu meringankan beban pelajar, ibu bapa dan waris semasa proses pendaftaran pelajar-pelajar ke IPT, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan juga Politeknik nanti,” ucapnya ketika menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT Tahun 2019 Bagi Daerah SPT di SP Arena pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Pegawai Daerah SPT, Kamarul Haizal Koderat.

Mengulas lanjut, Chong Eng memberitahu, tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk menghargai usaha dan penat lelah pelajar yang telah bertungkus lumus bagi mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.

“Bagi sesetengah orang, bantuan sebanyak RM1,000 dan RM300 ini mungkin tidak besar nilainya, namun bagi golongan B40, nilai tersebut adalah sangat besar dan amat dinanti-nantikan.

“Walaupun bantuan ini bukanlah seberapa nilainya, namun insentif tersebut merupakan salah satu penghargaan daripada Kerajaan Negeri untuk rakyat Pulau Pinang.

“Saya sangat berharap agar bantuan diberikan itu dapat menambahkan lagi semangat para pelajar untuk terus maju ke hadapan dalam apa jua bidang yang diceburi,” ujarnya lagi.

Bagi ELYSHA ZAIYANI ZULKIFLY, 18, ketika ditemui menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pemberian bantuan tersebut.

“Saya berasa bersyukur atas penerimaan bantuan tersebut kerana dapat mengurangkan beban ibu bapa saya.

“Wang tersebut akan saya belanjakan untuk membeli buku dan juga barang keperluan lain,” ujarnya yang sedang melanjutkan pelajaran di Politeknik Seberang Perai.

Seorang pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Merbok, MUHAMMAD EMIR DANIAL ZAMANI, 18, berasa gembira atas bantuan itu.

“Syukur kepada Allah S.W.T atas pemberian bantuan pendidikan ini…Bagi saya RM1,000 ini memang banyak dan secara tidak langsung dapat mengurangkan beban ayah saya.

“Saya akan belanjakan bantuan ini untuk membeli komputer riba bagi kegunaan di universiti nanti,” ujarnya.

Manakala, MUHAMMAD SHAFAWI  SHUFIAN, 18 memberitahu bahawa bantuan yang diterima tersebut dapat menambahkan semangat beliau untuk terus belajar dengan lebih cemerlang.

“Saya berasa gembira apabila menerima bantuan pendaftaran ini kerana dapat meringankan sedikit beban ibu bapa sebagai persediaan untuk mendaftar di UiTM Kampus Merbok nanti.

“Bantuan ini akan saya belanjakan untuk membeli komputer riba, buku-buku dan juga keperluan lain,” ujarnya kepada pemberita setelah menerima cek semasa majlis tersebut.

 

Oleh: SITI HUMAIRA BINTI MOHAMED YASIN

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS