MBPP umum sertai World Clean Up Day bersama 157 buah negara

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bakal menyertai World Clean Up Day 2019 pada 21 September ini bersama-sama 157 buah negara di seluruh dunia.

Pengumuman itu dibuat oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dalam satu sidang media pagi ini.

Katanya, penyertaan itu sebagai langkah ke arah menjadikan Pulau pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa selaras dengan slogan Kerajaan Negeri iaitu Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Sejak diumumkan pada 2008, saya rasa kita memang dah jadi negeri bersih, hijau, sihat dan selamat tetapi kita mahu bergerak lebih bersih, lebih hijau, lebih sihat dan lebih selamat.

“Bagi tujuan itu, kita akan laksanakannya bersama rakan kongsi Aimpactz Ventures, Trash Hero, INTI College, Kumpulan Pendaki Junior Chamber of Commerce (JCI), Lions Club, Zero Fitness, kelab-kelab MBPP sendiri dan banyak lagi.

“Kita jangkakan lebih dari 1,000 orang akan terlibat dan jumlah ini tidak termasuk kakitangan MBPP,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran bagi MBPP, Mubarak Junus dan Pengasas Aimpactz Ventures, Dr. Choong Jian Ming.

Justeru, Jagdeep menyeru kepada orang ramai supaya turut serta dalam kempen tersebut bagi memastikan objektif dapat dicapai.

“Kawasan terlibat dibahagikan mengikut parlimen iaitu Parlimen Tanjong, Tapak Warisan Dunia; Parlimen Bayan Baru, Kawasan Bukit Jambul/Bayan Baru; Parlimen Jelutong, Ocean View/ Serina Bay; Parlimen Bukit Bendera, kawasan Tanjung Pinang; Parlimen Bukit Gelugor, Island Glade dan Parlimen Balik Pulau di Kuala Sungai Pinang,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep turut mengumumkan bahawa 106 buah tandas awam di bawah seliaan MBPP mendapat penarafan tiga bintang dan ke atas.

“Sebanyak 41 daripada 106 atau purata 40 peratus adalah empat bintang ke atas manakala 21 (tandas) atau hampir 20 peratus lagi adalah bertaraf lima bintang.

“Saya juga ada beritahu Datuk Bandar, agar kebersihan tandas awam boleh diperingkatkan lagi supaya kesemuanya boleh mencapai taraf lima bintang dalam masa terdekat untuk menjadi negeri bertaraf antarabangsa,” tegasnya lagi.

Beliau juga mengumumkan dua tandas awam milik MBPP di Pantai Mas dan Pantai Miami, Batu Feringghi menerima pengiktirafan ASEAN Public Toilet Standard Award bagi tahun 2019 hingga 2021.

“Dan paling penting, tahun lepas Datuk Bandar juga telah pergi ke Phuket untuk menerima Anugerah ASEAN Cleanest Tourism City Award 2018 hingga 2020,” jelas Jagdeep sambil berharap penganugerahan yang diterima berjaya dikekalkan.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI