Kerajaan Negeri disaran pertimbang larangan penjualan vape

Admin
img 20250519 wa0068

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang disaran supaya mempertimbangkan langkah melarang penjualan sepenuhnya rokok elektronik atau vape di negeri ini.

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, The Lai Heng, vape kini bukan sekadar satu trend sosial, malah menjadi ancaman baharu kepada kesihatan awam dan perkembangan sosial generasi muda.

 

Katanya, kandungan nikotin yang tinggi, perisa menarik serta akses yang terlalu mudah menyebabkan vape menjadi pilihan ramai remaja termasuk pelajar sekolah.

 

“Lebih membimbangkan apabila Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini memberi amaran keras bahawa terdapat vape yang telah dicemari dengan dadah berbahaya seperti ketamin, methamphetamine dan dadah sintetik.

 

“Penemuan ini bukan berdasarkan spekulasi, tetapi hasil siasatan makmal terhadap beberapa sampel vape yang telah dirujuk kepada pusat tersebut.

 

“Ini menunjukkan bahawa vape bukan sahaja membawa risiko ketagihan nikotin, malah kini telah menjadi saluran baharu untuk penyebaran dadah dalam kalangan masyarakat, termasuklah belia dan pelajar sekolah,” katanya membahaskan Ucapan Perasmian Tuan Yang Terutama (TYT) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 19 Mei 2025.

 

Lai Heng berkata, Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah proaktif bagi menangani penggunaan vape dengan merujuk kepada inisiatif yang dilaksanakan di negara-negara maju seperti United Kingdom dan Australia.

 

“United Kingdom akan melaksanakan larangan penjualan vape pakai buang mulai 1 Jun 2025, setelah didapati produk ini menjadi tarikan utama kepada golongan muda.

 

“Sementara itu, Australia telah pun melaksanakan undang-undang yang lebih ketat bermula Mac 2025, termasuk melarang penjualan semua vape yang tidak mempunyai preskripsi atau lesen sah.

 

“Dalam Malaysia pula, negeri Perlis merupakan negeri yang pertama mengumumkan bahawa penjualan vape akan diharamkan di negeri itu berkuatkuasa mulai 1 Ogos ini.

 

“Saya sangat setuju dengan usaha ini kerana tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik itu mampu menyelamatkan anak-anak muda daripada terjebak dengan pengambilan vape,” ujarnya.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR