BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui pihak-pihak berkepentingan sedang giat membersih serta berusaha memulihkan Sungai Juru yang tercemar di kelas lima.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, Sungai Juru bukan sekadar laluan air semata-mata tetapi adalah nadi kehidupan, sumber ekonomi kepada nelayan dan penternak, serta menjadi habitat kepada pelbagai spesies akuatik.
“Namun begitu, sungai ini telah sekian lama menanggung beban pencemaran akibat pembuangan sisa industri, sisa domestik dan kekurangan kesedaran alam sekitar.
“Laporan menunjukkan bahawa kualiti air Sungai Juru berada pada tahap kelas lima, yang menunjukkan bahawa sungai ini sangat tercemar dan tidak sesuai untuk hidupan akuatik.
“Hari ini kita menyaksikan satu sinar harapan kerana program gotong-royong yang diadakan ini bukan sahaja untuk membersihkan sungai secara fizikal tetapi juga menyemai kesedaran dan tanggungjawab bersama terhadap penjagaan alam sekitar.
“Saya amat berbangga melihat penglibatan pelbagai lapisan masyarakat daripada pelajar, ibu bapa, pekerja industri hingga pegawai kerajaan semuanya turun padang untuk satu tujuan yang mulia,” ujarnya ketika berucap Program Gotong-Royong Pembersihan Sungai Juru Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang diadakan pada 17 Mei lalu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Lt. Kol. (Bersekutu), Ooi Soon Lee; Jurutera Daerah JPS SPT, Kapten Bersekutu (PA) Ts. Syed Mohamad Syahir Syed Mazlan; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Rachel Teh Chuann Yien dan Pengarah Urusan Juru Auto City Group, Gary Teoh Kiang Hong.
Sementara itu, Soon Lee memaklumkan bahawa sebanyak 788 kilogram (kg) sampah berjaya dipungut melibatkan 130 orang peserta.
“Program ini tidak terhenti di sini sahaja kerana JPS bercadang mengadakan acara ini sebanyak empat kali setahun.
“Adalah menjadi harapan JPS supaya usaha ini turut akan membabitkan penglibatan komuniti lokal, barisan kepimpinan negeri, syarikat-syarikat di kawasan sekitar dan juga pihak NGO (badan bukan kerajaan) secara berterusan.
“Ini kerana usaha pemuliharaan sungai yang merupakan khazanah bumi bukan hanya terletak pada JPS semata-mata,” maklum beliau kepada Buletin Mutiara.
Soon Lee memberitahu, Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan pembersihan Sungai Juru kepada RM2.293 juta (tahun 2024) meningkat 24.7 peratus berbanding RM1.725 pada tahun sebelumnya.
Bercakap mengenai pelan pembersihan jangka panjang, Soon Lee berkata bahawa JPS sentiasa melakukan kerja-kerja pembersihan serta mengangkat sampah di kawasan logboom.
“JPS dengan kerjasama pelbagai pihak juga akan berusaha menerapkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkaitan ‘larangan pembuangan sampah di sungai atau di mana-mana’ melalui kempen kesedaran berterusan yang dijalankan.
“Berkenaan isu ternakan kerang, ia memerlukan jawapan saintifik, oleh itu perkara tersebut perlu dilakukan kajian atau siasatan oleh Jabatan Perikanan atau agensi lain yang berkaitan,” ulasnya lanjut.
Chuann Yien dalam pada itu, menzahirkan sedikit kebimbangan berkenaan peningkatan kutipan sampah di Sungai Juru daripada 250kg pada Disember tahun lalu kepada 788kg Mei 2025.
“Pemeriksaan fizikal terhadap sisa yang dikumpulkan mendapati ianya terdiri daripada sisa domestik, khususnya plastik sekali guna seperti beg plastik, botol minuman, pembungkus makanan ringan, kotak polisterina, kasut terpakai, tin logam, kotak minuman, botol kaca dan lain-lain.
“Peningkatan ini amat membimbangkan dan memberi isyarat jelas bahawa pencemaran sungai masih berlaku pada kadar yang tinggi.
“Justeru, kami menyeru semua pihak, khususnya penduduk setempat dan pihak industri untuk lebih bertanggungjawab dalam pengurusan sisa harian,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : JPS