Kerajaan Negeri hargai peranan NGO jadi perantara bantu golongan memerlukan

Admin
img 20251018 wa0066

BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menghargai peranan yang dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu membuka akses kepada golongan memerlukan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa NGO serta pelbagai pertubuhan kebajikan boleh menjadi perantara di antara pihak kerajaan, penyumbang dana dan para penerima yang layak.

“Kerajaan Madani telah menyalurkan pelbagai bantuan bukan sahaja dari segi kebajikan tetapi juga pelindungan sosial, tetapi adakalanya ia tidak sampai kepada golongan yang disasarkan.

“Oleh itu, ruang ini perlu diisi oleh NGO, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan lain-lain pertubuhan untuk membantu kerajaan membuka akses kepada keluarga dan golongan memerlukan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Kasih Deepavali anjuran Yayasan Kita Anak Malaysia dekat Juru Auto-City di sini sebentar tadi.

img 20251018 wa0068img 20251018 wa0053img 20251018 wa0050img 20251018 wa0048img 20251018 wa0057

Turut hadir, Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Pengasas merangkap Pengerusi Yayasan Kita Anak Malaysia, G. Puvaniten Helan dan Ahli Lembaga Pengarah, Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Rozita Ibrahim.

Pada majlis tersebut, seramai 1,000 penerima yang terdiri daripada golongan memerlukan menerima sumbangan sempena sambutan perayaan Hari Deepavali tahun ini.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan atas usaha dan semangat gigih Yayasan Kita Anak Malaysia dalam membantu golongan yang memerlukan khususnya di negeri Pulau Pinang.

“Difahamkan, sejak penubuhannya pada tahun 2021, yayasan ini telah menyalurkan bantuan kepada lebih 200,000 penerima di seluruh negara, dengan Pulau Pinang sebagai fokus utama.

“Bantuan yang diberikan bukan sekadar bakul makanan, tetapi juga tablet kepada pelajar bagi pembelajaran dalam talian, bantuan perubatan dan program pendidikan yang membina masa depan.

“Malah, pada Februari lalu, yayasan telah menyantuni 500 pelajar sempena Program Kembali ke Sekolah di Balik Pulau dengan sumbangan pakaian seragam dan peralatan persekolahan baharu, serta tajaan biasiswa kepada pelajar institute pengajian tinggi awan (IPTA) dan swasta (IPTS) yang cemerlang.

“Semua ini membuktikan bahawa yayasan ini benar-benar berpegang pada prinsip inklusif iaitu membantu tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam pada itu, Sara Chinnasamy menyatakan bahawa Yayasan Kita Anak Malaysia amat mementingkan aspek pembangunan kebajikan masyarakat, khususnya penduduk di Pulau Pinang.

“Kami berharap agar pada masa akan datang, peluang itu terus ada untuk kita membuat pelbagai program untuk menyantuni golongan memerlukan dari segi bantuan kebajikan memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat pada hari ini.

“Jadi, bantuan yang disalurkan oleh pihak yayasan sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah yang layak,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NOORATIKAH RAHMAT