Kerajaan Negeri kenal pasti satu lagi tapak PPR di Teluk Kumbar

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah mengenal pasti satu lagi tapak bagi pembinaan projek perumahan rakyat (PPR) di negeri ini iaitu di Teluk Kumbar.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa pegawai LPNPP bersama-sama pihak Unit Pelan Ekonomi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah pun mengadakan lawatan ke tapak berkenaan pada 17 Disember 2021.

“Tapak yang telah dikenal pasti adalah seluas 4.2 ekar dan Kerajaan Negeri mencadangkan supaya Kerajaan Pusat dapat mempertimbangkan pembinaan sebuah lagi PPR di tapak ini.

Jagdeep Singh Deo bersama-sama penerima bantuan bakul makanan di PPR Taman Manggis dekat sini.

“(Dan) sekiranya projek ini menjadi kenyataan, ia merupakan PPR pertama yang akan di bina di kawasan Daerah Barat Daya.

“Jadi, kita harap pihak kementerian dapat mempertimbangkan cadangan ini secepat mungkin kerana isu perumahan adalah sangat penting bagi penduduk Pulau Pinang,” katanya semasa berucap pada program pemberian bakul makanan kepada penduduk PPR Taman Manggis di sini pada 18 Disember lalu.

Jagdeep berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan untuk membina lebih banyak PPR di di negeri ini.

“Pulau Pinang mempunyai unit PPR yang paling rendah iaitu hanya 999 unit daripada 100,000 unit PPR di seluruh negara.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri sudah menyenaraikan lima tapak berkeluasan 72.3 ekar melibatkan setiap daerah bagi tujuan pembinaan PPR di negeri ini.

“(Dan) melalui perbincangan saya dengan Menteri KPKT baru-baru ini, beliau bersetuju untuk membina dua projek PPR di negeri ini tetapi kita masih lagi menunggu perincian mengenainya.

Jadgeep Singh Deo menyerahkan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penerima.

“Sementara permohonan bagi tiga lagi projek PPR baharu akan dipertimbangkan dalam perancangan akan datang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Pada masa sama, Jagdeep menegaskan bahawa Kerajaan Negeri juga akan meneruskan projek-projek yang dirancang di bawah LPNPP termasuk pembinaan rumah mampu milik (RMM) di Bukit Gedung.

“Projek pembinaan RMM di Bukit Gedung sudah hampir selesai proses panggilan tender dan dijangka bakal memulakan pembinaan pada suku pertaman tahun depan (2022).

“Selain itu, kita juga ada projek pembaharuan semula Blok 5 Mahsuri dekat Bayan Baru demi manfaat rakyat di negeri ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 2,510 unit kediaman sedia ada dalam perancangan untuk disalurkan melalui kaedah sewa beli bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Walaupun Kerajaan Negeri telah membina pelbagai jenis RMM mampu milik termasuk rumah kos rendah dan sederhana rendah tetapi masih ramai lagi yang tidak mampu untuk membelinya.

“Justeru, melalui kaedah ini, penyewa perlu membayar sewa bagi tempoh tertentu sehingga akhinya rumah tersebut akan menjadi hak milik mereka sendiri,” jelasnya lagi.

Pada program tersebut, sebanyak 100 bakul makanan diedarkan kepada mereka yang memerlukan.

Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 1,000 bakul makanan akan disalurkan kepada semua skim perumahan awam di seluruh negeri melalui LPNPP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF