Kerajaan Negeri komited bantu penganjuran acara boria

img 20260112 wa0082

GEORGE TOWN – Pertandingan akhir Yaribba Boria sempena penganjuran Pesta Pulau Pinang 2025/2026 berlangsung dalam suasana penuh meriah dan penuh berwarna-warni di Kompleks Bukit Jambul (KBJ) pada 10 Januari lalu.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Akademi Boria Pulau Pinang itu merupakan acara tahunan yang bertujuan menghidupkan semula irama dan warna boria, yang merupakan salah satu warisan budaya Pulau Pinang.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata penganjuran pertandingan Yaribba Boria merupakan salah satu usaha penting yang memperlihatkan komitmen Pulau Pinang dalam memartabatkan seni warisan negeri yang sangat bernilai.

“Boria begitu sinonim dengan negeri Pulau Pinang dan merupakan satu persembahan seni budaya yang terus bertahan merentasi zaman.

“Seni warisan ini merupakan satu medium kebudayaan yang terus diraikan oleh semua lapisan masyarakat serta mewakili semangat perpaduan dan keharmonian kaum di negeri ini.

“Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk membantu penganjuran acara boria, latihan bakat serta persembahan boria bagi memastikan ia terus terpelihara,” katanya ketika merasmikan pertandingan tersebut.

img 20260112 wa0073img 20260112 wa0063img 20260112 wa0080img 20260112 wa0074img 20260112 wa0059

Hadir sama, Pengerusi Akademi Boria Pulau Pinang, Dato’ Jibran Khalil Sindamadar, Pengerusi JMB, Dato’ K.H. Chan serta para penggiat seni dan budaya tempatan.

Hon Wai berkata, boria mempunyai sejarah perjalanan yang panjang, bermula dari kampung sehingga ke mukim dan seterusnya ke peringkat negeri sebagai hiburan rakyat.

“Boria kini telah disenarai sebagai Warisan Kebangsaan Malaysia di bawah kategori warisan tidak ketara, yang merupakan langkah permulaan yang penting dalam usaha berterusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengangkat status boria ke tahap yang lebih tinggi.

“Sehingga kini, boria telah dipersembahkan dalam pelbagai acara rasmi termasuk Perarakan Chingay Pulau Pinang, Perarakan Tentera Laut Diraja Malaysia dn juga Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang dan lain-lain.

“Malah, seni warisan ini juga diraikan di pelbagai pentas pada peringkat daerah sehingga negeri dan kebangsaan.

“Bersama-samalah kita meraikan boria supaya seni budaya ini terus berkembang dan menjadi warisan kebangsaan yang amat ternilai untuk diwarisi oleh generasi yang akan datang,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Selain menyaksikan persembahan penuh berwarna-warni oleh peserta yang mengambil bahagian, pertandingan tersebut turut menyampaikan pengiktirafan kepada dua Ikon Boria iaitu Zaini Man dan Bashir Gulam.

Sebagai rekod, Zaini yang lahir pada 2 Mac 1967 merupakan penggiat Boria yang berbakat dan telah terlibat dalam Boria sejak tahun 198 dan telah manjadi sebahagian dari beberapa kumpulan Boria terkenal, termasuk Kumpulan Boria Wawasan dan Kumpulan Boria Budayasar.

Beliau juga pernah menjuarai pertandingan MHI Panjang Akai TV3 1998 peringkat kebangsaan bersama-sama ketika bersama dengan kumpulan Boria Wawasan dan turut menerima anugerah-anugerah sebagai penggiat Boria.

Saat ini, beliau masih aktif dan menubuhkan Kumpuian Boria sendiri dikenali sebagai Budayasari Pulau Pinang.

Sementara itu, Bashir yang merupakan anak jati Pulau Pinang yang dilahirkan pada 29 Ogos 1949 di Jalan Kelawai juga telah terlibat dalam boria seusia 18 tahun.

Beliau pernah menyertai pelbagai kumpulan boria seperti Boria Kelawei pada tahun 1967, Boria Jaian Hatin (1970) di samping menyertai pelbagai pertandingan.

Sehingga kini, beliau masih bergiat aktif mengajar di institusi pengajian dan sekolah-sekolah serta memimpin kumpulan boria veteran (Boria Klasik Mutiara) selain turut aktif sebagai pelakon sketsa boria dan sering dijemput sebagai juri bagi pertandingan boria.