Kerajaan Negeri komited perkasakan IKS – Ketua Menteri

PERMATANG BERANGAN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited dalam usaha memperkasakan lagi sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa untuk tujuan itu, sebanyak RM40,800 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun ini bagi menambah baik projek-projek berkaitan Industri Asas Tani serta memperkasakan sosioekonomi masyarakat setempat.

Puan Tan Lean Kee mencuba membentuk adunan salah produk makanan yang dijual oleh Chinta Kerepek House semasa Jelajah ❤️Penang sebentar tadi.

“Peruntukan ini disalurkan melalui Program Farmers To Farmers Industri Asas Tani di bawah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.

“Insentif yang diberikan adalah dalam bentuk mesin, peralatan serta kursus dan latihan industri asas tani bagi memastikan peningkatan kapasiti pengeluaran sekali gus dapat menambah pendapatan usahawan pada masa hadapan.

“Diharapkan insentif ini mampu menjana ekonomi setempat serta mewujudkan peluang pekerjaan dan melahirkan lebih ramai usahawan baru dalam industri asas tani,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas mengadakan lawatan ke premis pembuatan kerepek, Chinta Kerepek House dekat Jalan Permatang Perangan B, Pokok Tampang di sini sebentar tadi.

Menerima cenderahati daripada peserta yang terlibat

Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zulkifli Rashid; Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Muhaimin Ibrahim; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Ooi Yoon Wooi; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng serta ramai lagi.

Difahamkam, Chinta Kerepek House merupakan salah satu perusahaan yang dijalankan di bawah projek Farmers To Farmers Industri Asas Tani yang membabitkan lima orang peserta.

Projek tersebut dilaksanakan secara berkumpulan di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pokok Tampang yang telah menerima bimbingan daripada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.

Melihat sendiri proses menghasilkan tapai.

Terdahulu, Kon Yeow turut mengadakan lawatan kira-kira 30 minit ke Jeti Lebuh Banting untuk melihat sendiri program-program IKS yang dijalankan di kawasan berkaitan.

Pada kesempatan sama, beliau juga berkesempatan menyaksikan demonstrasi masakan bagi penyediaan bebepara produk IKS antaranya pembuatan ikan pekasam, tapai dan makanan tradisi ‘peknga’ atau nama asalnya ‘tempek belanga’ di samping mencuba permainan tradisional ‘cak Plong’.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS