Isteri mangsa kemalangan maut terima sumbangan khas Ketua Menteri

PERMATANG BERANGAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyerahkan sumbangan wang tunai kepada isteri mangsa kemalangan jalan raya dekat Merbau Kudung yang meninggal dunia pada 21 Julai lalu.

Sumbangan tersebut disampaikan Kon Yeow di kediaman isteri mangsa, Shafaah Suaid, 35, dekat Pokok Tampang, di sini sempena Jelajah ❤️Penang ke Parlimen Tasek Gulugor, sebentar tadi.

Ketua Menteri dan isteri bergambar bersama-sama isteri dan waris mangsa kalangan maut.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zulkifli Rashid; Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Muhaimin Ibrahim; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yoon Wooi; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng serta ramai lagi.

Ketika ditemui Buletin Mutiara, Shafaah menzahirkan penghargaan tidak terhingga atas keprihatinan Kon Yeow yang sudi menghulurkan sumbangan tersebut bagi mengurangkan beban mereka sekeluarga.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri (YAB Tuan Chow Kon Yeow) dan pasukan beliau kerana sudi datang menziarah serta menyampaikan sumbangan kepada kami.

“Saya sangat hargai sumbangan ini apatah lagi selepas kehilangan suami yang merupakan tonggak utama keluarga,” katanya yang bekerja sebagai operator kilang dekat Juru.

Difahamkan, mangsa Muhamad Fitri Rosli, 34, meninggalkan seorang ibu, seorang balu serta dua anak lelaki masing-masing berumur tujuh dan tiga tahun.

Jelajah ❤️Penang Tasek Gelugor diakhiri dengan jamuan makan tengah hari di Warung Pakndak Man.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai Jelajah ❤️Penang, Kon Yeow memberitahu bahawa program tersebut dianjurkan untuk membolehkan beliau berinteraksi secara terus dengan masyarakat dan memahami permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat.

“Program ini dianjurkan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan yang mana ia merupakan peluang untuk saya mendekati rakyat dan mengambil maklum permasalahan yang mereka hadapi.

“Sekiranya terdapat sebarang masalah atau keperluan yang diutarakan sepanjang jelajah ini, Pejabat Daerah atau agensi-agensi berkaitan perlu mengambil tindakan susulan terhadap beberapa isu yang dibangkitkan.

“Antaranya, berkaitan isu peruntukan untuk beberapa projek pembangunan infrastruktur dan sebagainya yang memerlukan peruntukan daripada Kerajaan Negeri.

“Contohnya, di kawasan ini (Pokok Tampang) kebanyakan penduduk adalah terdiri daripada usahawan kecil yang mana kita boleh memberikan bantuan berupa geran dan bantuan kewangan untuk mereka mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa Jelajah ❤️Penang akan diteruskan sehingga semua 13 kawasan Parlimen di negeri ini selesai dilawati.

“Program ini bukan bermotifkan politik kerana kami tidak bercakap soal politik semasa jelajah diadakan tetapi apa yang paling penting adalah bagaimana kami mendekati komuniti setempat dan mendengar permasalahan mereka.

“Lebih penting lagi, kita mahu rakyat merasakan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bersama-sama mereka dalam menghadapi cabaran selepas pandemik COVID-19,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD