Kerajaan Negeri komited realisasi Dasar Keterangkuman Gender

Admin

PADANG KOTA – Kerajaan Negeri percaya bahawa melalui pelan tindakan yang telah dirancang rapi, ia mampu memastikan program dan perkhidmatan di bawah insiatif Dasar Keterangkuman Gender memperoleh kejayaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri komited bahawa dasar tersebut akan membuahkan hasil meskipun ia masih baru iaitu di tahun kedua pelaksanaannya.

“Melalui penubuhan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) pada tahun 2011, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan ke arah merealisasikan kesaksamaan gender dan keadilan sosial.

“Malah, nisbah 40:40:20 yang menjadi rujukan dalam pentadbiran di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri masih praktikal serta relevan untuk diguna pakai.

“Penanda aras tersebut (40:40:20) secara tidak langsung akan memastikan peluang sama diberikan kepada mereka yang berkelayakan dan seterusnya mengelakkan dominasi oleh satu gender sahaja dalam pembuatan keputusan.

“Justeru, dasar ini tidak hanya memfokuskan kepada institusi pentadbiran kerajaan sahaja, tetapi kini turut dilebarkan kepada peringkat komuniti tempatan dan setempat,” ujarnya sebelum menyempurnakan Majlis Penutup Sambutan Hari Wanita Sedunia Tahun 2020 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng, Dato’ Abdul Razak Jaafar (Setiausaha Kerajaan Negeri), Mohd. Ali Sebran (Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) dan Ong Bee Leng (Ketua Pegawai Eksekutif PWDC).

Terdahulu, majlis perasmian sambutan bertemakan ‘Each for Equal’ peringkat negeri berkenaan yang berlangsung di Dewan Sri Pinang dekat sini telah disempurnakan oleh isteri kepada Yang Di-Pertua Negeri (TYT), Toh Puan Majimor Shariff.

Bagi menunjukkan komitmen tinggi dalam pengukuhan struktur kekeluargaan dan kemasyarakatan, Kon Yeow memberitahu bahawa sehingga kini sejumlah 600 individu telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK).

Menurut beliau, JPWK yang ditubuhkan di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) akan terus diperkasakan sebagai platform untuk golongan wanita tampil ke hadapan bagi menggilap kemahiran serta asas kepimpinan dalam keluarga dan komuniti.

“Meskipun usaha ini mungkin kecil nilainya, tetapi hakikatnya ia mampu memberikan impak besar kepada individu, komuniti mahupun negara.

“Pada tahun lalu (2019), Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM1.348 juta untuk pelaksanaan JPWK di setiap KADUN.

“Hasilnya, sebanyak 423 program telah dilaksanakan secara keseluruhan di Pulau Pinang dengan penglibatan seramai 91,427 peserta.

“Ia menunjukkan kejayaan JPWK dan golongan wanita dalam menggerakkan aspirasi Kerajaan Negeri terhadap agenda pembangunan wanita dan keluarga,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI