Kerajaan Negeri lancar Penang OneMap+ mudahkan rakyat akses maklumat penting

Admin
img 20260822 wa0075

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda pendigitalan menerusi pelancaran rasmi Penang OneMap+, sebuah platform yang menyediakan maklumat berkaitan negeri secara lebih tersusun, mudah diakses dan sentiasa dikemas kini.

Pelancaran platform berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sempena penganjuran Penang2030 Festival Lite KOMTAR 2026, sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memperluas penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan kemudahan serta akses maklumat kepada rakyat.

Kon Yeow berkata, platform berkenaan dibangunkan dengan konsep mudah iaitu memastikan maklumat penting dapat diakses, difahami dan digunakan oleh rakyat dalam kehidupan seharian.

img 20260822 wa0065

Menurut beliau, Penang ONEMAP+ merupakan satu inisiatif yang menggabungkan pelbagai data penting dalam satu platform, sekali gus membawa teknologi dan data lebih dekat kepada masyarakat.

“Melalui platform ini, orang awam dapat mengenal pasti lokasi kamera litar tertutup (CCTV), peranti defibrilator luaran automatik (AED) dan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh Pulau Pinang.

“Satu peta, pelbagai kegunaan, satu platform, pelbagai manfaat.

“Penang ONEMAP+ membawa data dan teknologi lebih dekat kepada rakyat, khususnya maklumat yang boleh membantu dalam kehidupan seharian,” ujarnya ketika merasmikan festival berkenaan di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Mohd. Fadzil Sadikin; Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman dan Presiden Penang Heart Safe Society, Dato’ Dr. Luah Lean Wah.

img 20260822 wa0118img 20260822 wa0083img 20260822 wa0081img 20260822 wa0091

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sehingga tahun 2026, sebanyak 1,977 CCTV telah dipasang di seluruh kawasan pulau dan Seberang Perai, manakala terdapat kira-kira 460 stesen pengecas EV di seluruh negeri.

Menurut beliau, maklumat lokasi CCTV yang dipaparkan menerusi Penang ONEMAP+ dapat membantu meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan awam, manakala maklumat stesen pengecas EV pula menyokong kesiapsiagaan Pulau Pinang menghadapi era baharu mobiliti.

Tambahnya, bagi merealisasikan matlamat tersebut, sebuah stesen pengecasan EV baharu telah dilancarkan di McDonald’s Batu Kawan, sambil menegaskan keperluan untuk terus memperluas kemudahan pengecasan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik.

“Serentak itu, kita juga sedang mempersiapkan Pulau Pinang bagi menghadapi era baharu mobiliti yang mana sehingga tahun 2026, terdapat kira-kira 460 stesen pengecas EV di seluruh negeri.

“Justeru, Penang ONEMAP+ dapat mengenal pasti lokasi stesen pengecas EV dengan lebih mudah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa komponen AED turut menjadi antara maklumat penting yang diketengahkan menerusi platform berkenaan, selaras dengan usaha Kerajaan Negeri membangunkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri ‘Heart-Safe’.

Menurut beliau, kerjasama dengan agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti telah dilaksanakan sejak sekian lama bagi memperkukuh usaha tersebut.

“Berdasarkan angka yang dilaporkan oleh Penang Heart Safe Society, lebih 40 nyawa telah berjaya diselamatkan melalui penggunaan AED di Pulau Pinang,” ulasnya lanjut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Penang ONEMAP+ dibangunkan oleh PLANMalaysia Negeri Pulau Pinang dan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN) dengan kerjasama serta input daripada Penang Green Council (PGC), MBPP, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Beliau menjelaskan bahawa pelancaran tersebut merupakan fasa pertama Penang ONEMAP+, manakala tanda ‘+’ pada nama platform tersebut melambangkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menambah baik dan mengembangkan platform berkenaan.

“Apa yang kita lancarkan pada hari ini hanyalah fasa pertama Penang ONEMAP+.

“Tanda ‘+’ melambangkan komitmen kita untuk terus menambah baik dan mengembangkan platform ini, dengan maklumat yang sentiasa dikemas kini serta mudah diakses.

“Menjadi negeri yang pintar bukan sekadar memiliki lebih banyak teknologi tetapi memastikan teknologi memberi manfaat nyata kepada rakyat selaras dengan Visi Penang2030,” katanya.

Pengguna boleh mengakses ONEMAP+ melalui aplikasi Penang Smart Parking yang mana versi semasa memaparkan sebanyak 1,977 CCTV, 439 AED dan 494 stesen EV.

Mengulas mengenai penganjuran Penang2030 Festival Lite KOMTAR 2026, Kon Yeow memberitahu bahawa program tersebut memberi peluang kepada orang awam untuk mendekati teknologi yang digunakan serta memahami bagaimana teknologi, data dan inovasi dimanfaatkan bagi menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang lebih maju, selamat dan berdaya huni.

Terdahulu, Kon Yeow turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi pertandingan mewarna dan pakaian beragam kanak-kanak sebelum meninjau pusat kawalan dan pemantauan CCTV MBPP.

img 20260822 wa0116img 20260822 wa0119img 20260822 wa0082img 20260822 wa0088img 20260822 wa0085img 20260822 wa0066

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT