Kerajaan Negeri lulus peruntukan RM1.5 juta, cat semula PPR Desa Wawasan

PADANG LALANG – Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan, di sini menerima khabar gembira apabila Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM1.5 juta untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf perumahan berkenaan tahun hadapan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dalam sidang media sebentar tadi berkata, menjadi aspirasi Kerajaan Negeri untuk menyediakan kediaman dan persekitaran yang selesa serta kondusif untuk rakyat Pulau Pinang.

Blok A dan B PPR Desa Wawasan yang bakal dicat semula mulai tahun depan.

“Oleh itu, keperluan bagi menjalankan kerja-kerja menaik taraf skim-skim perumahan awam termasuk PPR sentiasa diberi perhatian.

“Justeru, bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri sekali lagi meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk kerja-kerja mengecat semula Blok A dan B PPR Desa Wawasan (RM1.3 juta) serta memasang bumbung di laluan pejalan kaki (RM200,000),” ujarnya.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang merangkap Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; wakil-wakil Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Seberang Perai Tengah, Tajuddin Yahaya; Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Desa Wawasan, Mohd. Sanusi Ahmad serta komuniti setempat.

Mengulas lanjut, Jagdeep menjelaskan bahawa sehingga November lalu, sebanyak RM1.4 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf (RM548,347.06) dan menyelenggara (RM816,229.42) PPR Desa Wawasan.

“Peruntukan tersebut melibatkan kerja-kerja membina taman permainan dan landskap (RM217,606.06), menaik taraf surau (RM86,741) dan pejabat kecil (RM111,000) serta penggantian selusur tangga (RM133,000) yang kini telah siap sepenuhnya.

Kawasan refleksologi antara kemudahan yang telah dinaik taraf.

“Kerajaan Negeri amat memfokuskan kerja-kerja menaik taraf taman permainan kanak-kanak dan landskap sebagai salah satu usaha untuk mencapai penghijauan bagi skim perumahan awam di negeri ini.

“Ia penting kerana hasil yang kita lihat di PPR Desa Wawasan bukan sahaja akan menjadi contoh kepada skim-skim perumahan awam yang lain tetapi juga untuk pembinaan projek-projek perumahan swasta di negeri ini,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM11,807,275.67 untuk menaik taraf serta menyelenggara kawasan serta infrastruktur di 28 skim perumahan awam yang memberi manfaat kepada 13,288 isi rumah di negeri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS