Kerajaan Negeri & MBPP hasrat teruskan usaha pemutihan hotel di George Town

GEORGE TOWN – Sejak 20 Jun 2015 sehingga 31 Disember 2017 sejumlah 267 hotel di kawasan pulau khasnya di George Town terlibat dalam Program Pemutihan Hotel yang dilaksanakan secara usahasama oleh Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, objektif Program Pemutihan Hotel ini adalah untuk membantu pengusaha-pengusaha hotel di negeri ini memperoleh lesen tetap daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

“Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai pendekatan untuk membantu para pengusaha hotel (untuk mendapatkan lesen tetap) dan antaranya mengadakan sesi perjumpaan khas bersama-sama pengusaha atau operator hotel.

 

“Meskipun program ini telah tamat (pada 31 Disember 2017), kita (Kerajaan Negeri dan MBPP) masih berhasrat untuk meneruskan usaha pemutihan ini terutamanya di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

 

“(Dan) saya berharap pengusaha hotel dapat memberikan kerjasama sewajarnya untuk menjadikan premis mereka sah beroperasi dan kita (Kerajaan Negeri dan MBPP) akan membantu memudahcarakannya,” ujarnya pada sidang media di Komtar, tadi.

JAGDEEP Singh Deo.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengarah Program Pemulihan Bandar (George Town dan Butterworth), Murali Ram serta ketua-ketua jabatan berwajib.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, pihaknya akan memastikan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO terus terpelihara.

 

“Oleh itu, pagi ini saya akan mengadakan satu mesyuarat penyelarasan bagi menentukan hala tuju pengusaha-pengusaha hotel yang masih ingkar dan tidak berjaya memperolehi lesen tetap daripada MBPP.

 

“Bagi pengusaha yang berminat untuk jadikan premis mereka sebagai sah operasi, kita (Kerajaan Negeri dan MBPP) sedia membantu, tetapi bagi mereka yang ingkar, mungkin tindakan akan diambil kelak,” tegasnya.

 

Sementara itu, Jagdeep turut menyenaraikan jumlah hotel yang terlibat dengan pemutihan sebelum ini dan telah diklasifikasikan kepada tujuh kategori utama.

 

  1. Hotel Yang Telah Memperolehi Lesen Tetap – 23
  2. Hotel (Rumah Inap) – 5
  3. Hotel Yang Memperoleh Kelulusan Pelan Bangunan – 48
  4. Hotel Yang Tidak Memperoleh Kelulusan Pelan Bangunan – 8
  5. Hotel Yang Dalam Proses Mendapatkan Kelulusan Pelan Bangunan – 1
  6. Hotel Yang Tidak Mengemukakan Permohonan Pelan Bangunan – 112
  7. Hotel Yang Telah Tutup Dan Tidak Beroperasi Lagi – 70

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN