JAWI – Sebagaimana dijanjikan Kerajaan Negeri sebelum ini, 23 keluarga asal di atas Lot 10059 masing-masing akan dianugerahkan unit kediaman bertanah secara percuma apabila projek pembinaan Rumah MutiaraKu (RMKu) siap kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian seusai menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) RMKu di atas Lot 10059, Mukim 8, daerah Seberang Perai Selatan (SPS) antara agensi negeri, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan Tetuan Sierra Residences (M) Sdn. Bhd..
“Kita baru pilih syarikat ini, setelah proses itu, mereka boleh kemukakan Pelan Kebenaran Merancang (kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) dan sekiranya lulus dalam tempoh yang pendek, mungkin pada awal tahun akan datang (2026) boleh mula bina.
“Sebanyak 23 unit kediaman dan tiga kuil itu akan diberikan tanpa dikenakan bayaran pun atau secara percuma, dan baki tanah, Kerajaan Negeri akan minta pemaju membina (unit kediaman) serta boleh menjual baki unit-unit (kediaman) itu kepada pembeli yang ditawarkan kemudian,” jelasnya kepada pemberita dalam majlis berkaitan di Ruang Konkos C-Mart Nibong Tebal dekat sini pada 16 Ogos 2025.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa beberapa tahun lepas menyaksikan 23 keluarga berkenaan berdepan pengusiran secara paksa susulan tuan tanah Lot 10059 mendapat perintah mahkamah berwajib.
Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Timbalan Ketua Menteri II waktu itu telahpun mengambil langkah proaktif iaitu berunding dengan tuan tanah, sehingga membawa kepada proses pengambilan balik tanah tersebut.
Tidak sekadar itu sahaja, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk melaksanakan projek perumahan bertanah secara lebih tersusun di atas tanah berkeluasan 6.146 ekar itu.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, kita (Pihak Berkuasa Negeri) berjanji pada masa itu bahawa penduduk asal akan ditempatkan semula di tapak yang sama juga.
“Bagi pelaksanaan projek (perumahan bertanah tersusun) ini, kita pun mengadakan permintaan atas cadangan (RFP) untuk menjemput pihak swasta kemukakan cadangan mereka.
“Sebenarnya, Kerajaan Negeri (melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, LPNPP) tidak untung apa pun (walau) kita membiayai kos pengambilan tanah, manakala pemaju swasta yang dipilih perlu (membina unit-unit kediaman) dengan kaedah subsidi silang.
“Rumah yang dijual kelak di atas baki tanah itu perlu memberi subsidi kepada 23 unit rumah dan tiga buah kuil Hindu yang diberikan secara percuma (kepada penduduk asal kampung berkenaan).
“Kita akan membina (projek perumahan) ikut fasa sebab kawasan yang tak ada rumah itu akan kita mula (bina) sebab tidak perlu (proses) pemindahan penduduk,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Tambah Kon Yeow, pemaju yang dipilih akan membina sejumlah 85 unit RMKu termasuk kepada 23 penduduk asal berkenaan.
“Apabila siap rumah dibina, penduduk akan berpindah ke rumah yang sudah siap, dan rumah-rumah lama yang mereka duduk sekarang akan dirobohkan untuk fasa dua dan tiga.
“Rumah teres setingkat dengan keluasan lantai 750 kaki persegi, tiga bilik dan dua bilik air serta tempat letak kereta.
“Rumah yang lain juga saiz sama dan perlu dijual, kalau rumah bertanah saiz yang sama dalam pasaran biasanya dijual dalam lingkungan harga RM200,000 (seunit).
“Baki unit kediaman perlu dijual dengan harga RM200,000 seunit sebab ada subsidi silang,” ujarnya lanjut.
Sebelum itu, Kon Yeow menyampaikan ucapan perasmian Hari Bertemu Pelanggan Bilangan 3 Tahun 2025 serta menyempurna acara simbolik dengan penyerahan surat tawaran RMKu Jenis C3 dan C4 membabitkan projek Residensi Rambai Indah dan Harbour View Residence.
Turut berucap, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang juga ADUN Perai.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa merangkap ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhrurrazi Ibnu Omar; Pengarah GSD Land (M) Sdn. Bhd., Dato’ Seri Khor Chong Hai; Pengarah Sierra Residences (M) Sdn. Bhd., Dato’ Khoek Su Kiang; Pengarah Cawangan Pulau Pinang OSK Property Holdings Berhad, Tan Hun Beng; Eksekutif Pemasaran JSC Infrabina Sdn. Bhd., Goh Chee Khoon dan sekalian anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Sungai Kechil.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS