GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini memang memberikan perhatian serius terhadap kesan pergolakan geopolitik di Asia Barat yang dikhuatiri bakal memberi impak langsung kepada sektor logistik dan rantaian bekalan industri di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa meskipun pendedahan dagangan terus dengan wilayah berkenaan adalah kecil, namun gangguan pada laluan utama perdagangan dunia boleh mengakibatkan kelewatan penghantaran bekalan dan peningkatan kos operasi yang ketara.
“Barangan yang melalui Timur Tengah kini mengambil masa lebih lama untuk sampai (yang mana) ia bukan sahaja melibatkan soal kos yang meningkat, tetapi juga risiko ketersediaan bekalan itu sendiri.
“Walaupun industri mampu membayar kos yang lebih tinggi, ia tetap tidak menjamin bekalan akan sampai mengikut jadual,” ujarnya ketika menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 12 Mei 2026.
Di samping itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri melalui Invest Penang Sdn. Bhd. (Invest Penang) telah memulakan sesi libat urus dan kajian penyelidikan berkaitan susulan ada kebimbangan mengenai risiko ketiadaan bekalan bahan kritikal peringkat global seperti gas helium yang menjejaskan pembuatan ‘wafer’ di negeri ini.
Difahamkan, ‘wafer’ ialah kepingan bahan semikonduktor yang sangat nipis, berbentuk cakera bulat, serta berfungsi sebagai asas untuk fabrikasi litar bersepadu (IC) dan peranti elektronik lain.
“Kita sedar ada sektor yang menerima kesan lebih tinggi berbanding yang lain.
“Justeru, pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pelaburan yang berdaya tahan di rantau Asia Tenggara dalam menghadapi pergolakan dunia hari ini,” ujarnya.
Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menjelaskan kedudukan serta pecahan antara Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Domestik Langsung (DDI) semasa ke Pulau Pinang.
Selain sektor industri, Kon Yeow turut menyentuh mengenai usaha memperkukuh hasil negeri melalui agenda digitalisasi perkhidmatan awam dan pemerkasaan sektor pelancongan berkualiti tinggi seperti MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran) serta pelancongan perubatan.
“Buat masa ini, ianya belum dikategorikan sebagai sektor yang dilesenkan secara sah sepenuhnya, menyebabkan ada pengoperasian dilakukan tanpa membayar cukai atau tanpa kelulusan perbadanan pengurusan.
“Walau bagaimanapun, kita (Pihak Berkuasa Negeri) berharap di peringkat kebangsaan dan Negeri, satu mekanisme kawal selia dapat dimuktamadkan bagi membolehkan sektor ini menyumbang hasil tambahan kepada kerajaan tempatan dan Negeri,” jelasnya.
Penjelasan itu sebaga menjawab soalan tambahan berhubung isu kutipan fi hotel melibatkan platform penginapan alternatif seperti Airbnb, yang dibangkitkan oleh ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & SIEW CHIA EN