GEORGE TOWN – Sebanyak 186 kekosongan gerai di pasar, kompleks penjaja dan tapak penjaja milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dibuka untuk permohonan mulai 13 Mei hingga 25 Mei ini.
Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang berkata, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang uLesen MBPP.
Menurut beliau, bagi sesi kali ini sebanyak 30 lokasi dibuka melibatkan 186 kekosongan gerai untuk disewa.
“Permohonan boleh dibuat mulai esok sehingga 25 Mei 2026 melalui sistem dalam talian yang disediakan.
“Sesi temuduga bagi penyewaan gerai di pasar, kompleks dan tapak penjaja bagi bilangan dua pula akan diadakan pada 3 Jun depan,” katanya pada sidang media pagi tadi.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemohon yang menghadapi masalah untuk membuat pendaftaran secara dalam talian boleh hadir secara terus atau menghubungi Jabatan Pelesenan MBPP bagi mendapatkan bantuan.
“Pemohon yang mempunyai masalah untuk mendaftar dalam talian boleh walk-in atau menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 04-2637638 sambungan 218, 215 atau 219,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Soo Siang berkata bagi sesi temuduga bilangan satu yang diadakan pada 31 Januari lalu, pihak MBPP menerima sebanyak 231 permohonan bagi mengisi 136 kekosongan gerai.
Bagaimanapun katanya, hanya 51 pemohon berjaya memperoleh gerai memandangkan kebanyakan permohonan tertumpu di lokasi strategik.
“Daripada jumlah tersebut, 180 permohonan tidak berjaya yang lazimnya kes tidak berjaya ini melibatkan lokasi strategik.

“Sebagai contoh, jika hanya terdapat satu kekosongan tetapi menerima 20 permohonan, hanya seorang sahaja akan berjaya.
“Sebab itu angka tidak berjaya lebih besar daripada yang berjaya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata MBPP turut memberi fokus terhadap usaha penempatan semula penjaja tepi jalan ke gerai milik majlis bagi memastikan perniagaan lebih tersusun dan selesa.
“Baru-baru ini, seramai 15 penjaja sekitar Batu Maung telah ditempatkan di tapak milik MBPP berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wen Khai,” tambah beliau.
Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI