Kerajaan Negeri perkukuh pelan tindakan siap siaga hadapi musim tengkujuh

img 20251021 wa0034

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkukuh pelan tindakan kesiapsiagaan bagi menghadapi musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada November 2025 hingga Mac 2026.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pengairan san Saliran (JPS) Pulau Pinang telah melaksanakan langkah-langkah kesiapsiagaan khususnya dalam aspek penyelenggaraan kolam, sungai dan sistem saliran.

“Selaku agensi teknikal utama dalam pengurusan sumber air dan mitigasi banjir, JPS telah menjalankan pembersihan kolam takungan, sungai dan parit utama di kawasan hotspot banjir di samping melakukan pemeriksaan peralatan pemantauan paras air serta sistem amaran awal banjir.

“Selain itu, JPS turut menyediakan bot penyelamat, pam air bergerak, lori dan kenderaan pacuan empat roda untuk operasi pantas semasa berlaku banjir.

“Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) pada peringkat negeri dan daerah berada dalam keadaan siap siaga untuk pemantauan serta penyelarasan operasi.

“Malah, taklimat kesiapsiagaan kepada Jabatan Pengurusan Bencana Banjir (JPBB) negeri dan daerah juga dijalankan bagi memastikan tindakan agensi dan pihak berkuasa tempatan diselaraskan dengan baik,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, sebanyak 53 kawasan ‘hotspot’ yang berisiko tinggi mengalami banjir berulang telah dikenal pasti di seluruh negeri.

“Kawasan terlibat dikenal pasti mengalami banjir tiga kali atau lebih dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dengan paling tinggi adalah direkodkan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) membabitkan 18 lokasi.

“Daerah Barat Daya pula merekodkan 13 lokasi, diikuti daerah Timur Laut (10), manakala daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS) masing-masing enam lokasi.

“Sehubungan itu, sebanyak 389 Pusat Pemindahan Sementara (SPS) telah dikenal pasti di seluruh negeri yang boleh diaktifkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku bencana bagi memastikan aspek logistik dan penempatan mangsa bencana berjalan lancar,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa sebanyak RM270,000 daripada RM2 juta yang disediakan telah dibelanjakan untuk pembayaran bantuan kepada mangsa terlibat bagi tempoh MTL 2022/2023.

“Baki peruntukan bagi pelaksanaan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1.73 juta masih tersedia untuk digunakan bagi menghadapi musim tengkujuh akan datang,” ulasnya lanjut.

Kon Yeow memberitahu bahawa Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) turut berada dalam keadaan siapsiaga penuh termasuk penyediaan sistem komunikasi dan maklumat seperti dashboard bencana, pangkalan data serta takian khas.

“Pengujian semula peralatan ICT, sistem penjana kuasa sandaran dan rangkaian komunikasi dalaman juga dijalankan di samping penyelarasan jadual bertugas pegawai operasi serta wakil agensi utama secara giliran.

“SDCC akan diaktifkan sepenuhnya setelah menerima arahan rasmi daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Arahan pengaktifan dikeluarkan apabila bencana melibatkan lebih daripada dua daerah atau apabila situasi memerlukan penyelarasan menyeluruh di peringkat negeri,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melancarkan SDCC yang bertujuan menyelaras pengumpulan, penilaian dan penyebaran maklumat bencana kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Selain itu, unit tersebut juga akan menyelaras tindakan operasi lapangan, termasuk bantuan logistik, aset dan sumber manusia antara agensi teknikal selain menjadi pusat rujukan utama data situasi bencana yang diterima dari PKOB seluruh negeri.

SDCC juga menyediakan laporan status bencana negeri secara masa nyata untuk tindakan segera oleh Pengerusi JPBN dan pihak pengurusan tertinggi negeri.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS