Kerajaan Negeri perlu ambil tindakan wajar atasi kebimbangan penduduk berkaitan projek RMM

Admin
07fd4195 3697 4d83 8fbd 4b69f40cbc0f

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus mengambil tindakan sewajarnya terhadap projek rumah mampu milik (RMM) di Seberang Perai Utara (SPU) yang dikatakan tidak selamat untuk didiami.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze berkata demikian semasa membahaskan Ucapan Perasmian Tuan Yang Terutama (TYT) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 19 Mei 2025.

“Isu utama di sini ialah soal keselamatan struktur rumah, bukan hanya kecacatan kecil atau kerosakan kosmetik tetapi melibatkan risiko kepada nyawa penghuni itu sendiri.

“Maka timbul persoalan penting adakah Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan hasil pemeriksaan yang menyeluruh di tapak atau hanya berpandukan laporan atas kertas demi mengejar masa untuk elak denda LAD (Liquiedated Ascertained Damages) kerana projek ini dilaksanakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” tanya beliau dalam mesyuarat yang dipengerusikan Speaker, Dato’ Seri Law Choo Kiang.

Justeru, beliau bertanya adakah Kerajaan Negeri bersetuju bahawa pemaju berkenaan membayar pampasan setimpal kepada pemilik rumah atau menyediakan unit rumah gantian yang lebih selamat, jika kerosakan unit kediaman terus berulang.

“Kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan kerana pemaju juga sedang mengendalikan projek RMM atau Rumah Mutiaraku yang lain di Sungai Dua dan projek baru di Jawi.

“Rumah mampu milik bukan sekadar mampu dibeli,
tetapi mestilah selamat didiami,” jelasnya lagi.

Dijangka, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang juga ADUN Perai akan memberi respons pada isu yang dibangkitkan oleh Syn Tze, dalam sesi penggulungan Exco nanti.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR BATRISYA IDRIS
Video : SIEW CHIA EN