Kerajaan Negeri Pulau Pinang paling cekap lulus projek pembangunan rakyat – Perdana Menteri

Admin
img 20250719 wa0033

BUKIT TAMBUN – Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim memuji kecekapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam meluluskan pelbagai projek pembangunan rakyat di negeri ini.

Mengambil contoh pembangunan Projek Teratai Madani, Anwar berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri telah memberikan kerjasama dengan mempercepat proses kelulusan bagi projek tersebut.

“Hari ini, saya ‘salute’ Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri yang paling cekap memberi kelulusan bagi projek pembangunan peruhmahan dan lain-lain…ini rekod,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat perkarangan Stadium Batu Kawan di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Ahli-Ahli Jemaah Menteri; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang; Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator K. Saraswathy; Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Ahli-Ahli Exco; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Haslima Abdul Hamid; barisan Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli-Ahi Parlimen dan dif-dif kehormat yang lain.

Anwar menyatakan bahawa sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, pentadbirannya telah meluluskan pelbagai projek yang memberikan manfaat kepada semua rakyat termasuk projek Lebuhraya Bertingkat Juru ke Sungai Dua.

“Projek ini kosnya tinggi sehingga mencecah bilion ringgit, tetapi kita sudah berbincang dengan pihak Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan insyaAllah kita akan luluskan.

“Bila saya lulus, maknanya projek ini mesti berjalan dalam tahun ini juga (2025), dan saya sendiri akan datang untuk merasmikan (majlis pecah tanah),” ujarnya.

Dalam ucapan sama, Anwar turut menyeru kepada semua pihak untuk terus mempertahankan keamanan dan perpaduan antara kaum yang telah sekian lama terjalin.

Menurut beliau, rakyat perlu bijak menilai dan menepis anasir-anasir jahat yang dibawa oleh sesetengah pihak sehingga boleh memecahbelahkan hubungan antara kaum di negara ini.

Justeru, beliau mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan bagi melaksanakan pelbagai program yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat.

img 20250719 wa0038img 20250719 wa0039img 20250719 wa0034img 20250719 wa0035img 20250719 wa0031img 20250719 wa0026img 20250719 wa0027img 20250719 wa0017

Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya menzahirkan keyakinan bahawa Pulau Pinang akan terus menjadi contoh sebuah negeri yang mencerminkan perpaduan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia dan dunia.

“Di Pulau Pinang, masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya mampu hidup bersama-sama dalam suasana aman, sejahtera dan saling memahami.

“Meskipun kita berbeza, namun kita tetap bersatu demi tanah air tercinta,” jelasnya.

Beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memastikan pembangunan masyarakat menjadi agenda utama melalui pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang sentiasa aktif, cakna dan rapat dengan pelbagai lapisan golongan rakyat.

Malah katanya, sebanyak 375 MPKK sedang aktif memberikan perkhidmatan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

“Dalam pada itu, setiap pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga turut memainkan peranan yang cukup besar dalam menjadi medium perpaduan di antara Kerajaan Negeri dan rakyat secara keseluruhannya.

“Entiti yang mewakili Kerajaan Negeri ini diwakili keanggotaanya oleh pelbagai kaum serta agama, bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan perpaduan dan kebersamaan diterjemah hingga ke akar umbi masyarakat,” ulas beliau lanjut.

Kon Yeow menyatakan bahawa sebagai sebuah negeri yang menghargai nilai perpaduan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pulau Pinang terus mempergiatkan inisiatif dalam memperkasa masyarakat pada peringkat akar umbi.

“Sehingga kini, negeri ini mempunyai 527 Kawasan Rukun Tetangga (KRT); Skim Rondaan Sukarela (SRS, 288); Kelas Tabika Perpaduan (116); Mediator Komuniti (47); Kelab Rukun Negara (368) serta Skuad Uniti (5) yang menjadi barisan hadapan penggerak keharmonian komuniti.

“Jumlah ini bukan sekadar angka, tetapi merupakan bukti kesiapsiagaan jentera perpaduan di setiap daerah dari Seberang Perai hingga ke Barat Daya untuk menjadi katalis keamanan serta kesejahteraan sosial rakyat negeri ini.

“Lebih membanggakan, sepanjang tahun 2024 dan awal tahun 2025, pelbagai program strategik telah dilaksanakan merentasi semua daerah yang menterjemahkan perpaduan di negeri ini melalui gerak kerja akar umbi yang inklusif, berkesan dan berterusan, seiring aspirasi Malaysia Madani,” ujarnya.

Pada masa sama, Kon Yeow turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Menteri Perpaduan Negara serta seluruh warga kementerian atas kepercayaan memilih Pulau Pinang sebagai tuan rumah bagi sambutan peringkat kebangsaan pada tahun ini.

“Pemilihan ini adalah satu pengiktirafan besar buat negeri kami, negeri yang sentiasa menjunjung tinggi prinsip perpaduan yang menjadi intipati keharmonian terjalin sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Aaron Ago berkata bahawa Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kini sedang dilaksanakan untuk kali ketiga dan dijangka skor sebanyak 0.7 yang mencerminkan tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Indeks ini menilai aspek-aspek penting seperti hubungan antara etnik, persepsi terhadap identiti nasional dan kepercayaan sosial, sekali gus menjadi rujukan utama dalam merangka dasar serta inisiatif kementerian ke arah memperkukuh perpaduan negara,” ulasnya.

Oleh itu, beliau berkata bahawa Kementerian Perpaduan Negara sedang merangka pendekatan baharu bagi memperkukuh pelaksanaan Sambutan Minggu Perpaduan pada tahun hadapan.

“Salah satu pendekatan inovatif yang akan diperkenalkan adalah konsep “2 dalam 1” pada peringkat negeri iaitu penggabungan antara Sambutan Minggu Perpaduan dengan sambutan perayaan budaya etnik minoriti di negeri masing-masing. “Pendekatan ini mengiktiraf warisan etnik minoriti dan membuka ruang kepada rakyat untuk menghargai kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia,” jelasnya.

Pelbagai program menarik turut disajikan kepada pemgunjung yang hadir sempena penganjuran Minggu Perpaduan yang berlangsung selama empat hari bermula semalam, termasuk pameran daripada pelbagai agensi kerajaan, Jualan Madani, Jualan Foodunites, persembahan kebudayaan, larian uniti, promosi pengurangan kadar kompaun Polis Diraja Malaysia, pesta durian, wayang pacak, permainan tradisional, sukan e-Sport dan lain-lain lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS